2 Ekor Beruang Cuba Memecah Masuk Sebuah Rumah Namun Berjaya Dihalang Seekor Anjing

2 Ekor Beruang Cuba Memecah Masuk Sebuah Rumah Namun Berjaya Dihalang Seekor Anjing

Setelah menonton sendiri video berdurasi 50 saat yang mendebarkan ini, yakinlah kami bahawa anjing sememangnya haiwan yang sangat boleh dipercayai. Tidak hairanlah, ramai orang yang memelihara anjing di rumah mereka untuk menjaga keselamatan dan keamanan rumah mereka.

Jules, anjing seberat 20 pound (9.07 kg) adalah anjing French bulldong yang telah berjaya menghalau dua ekor beruang besar yang cuba untuk mengganggu rumah pemiliknya yang berdekatan dengan kaki bukit San Gabriel di Monrovia, California.

Jules tinggal bersama keluarga pemiliknya, Davis Hernandez. Akan tetapi, apa yang telah dilakukan oleh Jules adalah sesuatu yang luar biasa kerana jarang sekali beruang berjaya dihalau oleh haiwan peliharaan di mana-mana rumah, tambahan pula dengan saiz Jules yang kecil dan comel membuatkan kehebatannya lebih terserlah.

Beruang-beruang liar di kawasan perumahan tersebut sememangnya selalu datang ke rumah-rumah untuk mencari makanan. Tambahan pula, terdapatnya jiran-jiran yang sentiasa memberikan mereka makanan apabila mereka datang. Hal ini menyebabkan masalah ini semakin berlarutan.

Kedatangan beruang-beruang liar ini menjadi serius sehinggakan Davis berasa risau dengan keselamatan anak perempuannya. Oleh itu, Davis memutuskan untuk memasang kamera litar tertutup untuk mengambil tahu masa-masa yang selalu didatangi oleh haiwan liar itu.

Tanpa Davis sedari, rupa-rupanya anjing peliharaannya, Jules telah berusaha untuk menghalau beruang-beruang itu.

Menerusi satu insiden yang sempat dirakam oleh salah satu kamera litar tertutup, dua ekor beruang dirakam sedang bersiar-siar di halaman rumah Davis.

Kemudian secara tiba-tiba Jules datang sambil berlari sepenuh hatinya dan menyerang kedua-dua ekor beruang itu secara berulang-ulang kali. Kelakuannya sangat agresif demi melindungi rumah pemiliknya. Setelah beberapa saat, beruang-beruang itu pun segera keluar dari kawasan rumah Davis, mungkin kerana takut diserang oleh Jules yang semakin mengganas.

Berlari sambil menuruni tangga tanpa teragak-agak, Jules menyerang kedua-dua ekor beruang yang sedang bersiar-siar itu. Kedua ekor beruang yang langsung tidak menyangka kehadiran Jules itu segera mengundur walaupun saiz mereka jauh lebih besar berbanding Jules!

Jules juga sempat menyerang salah seekor beruang secara dekat untuk menunjukkan ketegasannya. Akibatnya, kedua-dua ekor beruang itu segera melarikan diri dengan seekor daripadanya pergi ke arah rumah jiran Davis dan seekor lagi beruang memanjat keluar dari pagar rumah Davis untuk menyelamatkan dirinya.

Davis semestinya sangat berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh Jules. Walaupun bersaiz kecil, namun Jules penuh dengan rasa tanggungjawab terhadap pemiliknya yang dikasihi.

Saksikan rakaman pendek daripada kamera litar tertutup yang menunjukkan kehebatan Jules ini:

Sumber: ERA BARU