5 Tragedi Pesawat Terhempas Menggemparkan Negara dan Masih Kekal Misteri Hingga Kini

5 Tragedi Pesawat Terhempas Menggemparkan Negara dan Masih Kekal Misteri Hingga Kini

Tahun 2014 mungkin antara tahun yang telah meninggalkan titik hitam kepada rakyat Malaysia kebanyakannya. Kehilangan MH370 yang masih tidak diselesaikan hingga kini dan nahas MH17 yang meragut nyawa 283 penumpang serta 15 anak kapal, antara kejadian yang sangat memeritkan dan tidak mampu dilupakan sesiapa.

Namun tahukah anda, sebelum dua tragedi ini berlaku, ada beberapa lagi tragedi kemalangan pesawat yang pernah terjadi dan melibatkan orang-orang penting dalam negara. Berikut kami senaraikan lima tragedi kemalangan pesawat yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dulu:

1. Tragedi ‘Double Six’ 1976

Sumber: Facebook

Pada 6 Jun 1979, sebuah pesawat GAF Nomad yang berlepas dari Labuan ke Kota Kinabalu dilaporkan telah terhempas ketika ia sedang menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Pesawat tersebut membawa enam pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri Sabah yang sangat disegani iaitu:

  • Ketua Menteri Sabah, Tun Mohammed Fuad Stephens
  • Menteri Kewangan, Datuk Salleh Sulong
  • Setiausaha Menteri Kewangan, Datuk Wahid Peter Andu
  • Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Peter Mojuntin
  • Menteri Kerja Raya dan Komunikasi, Datuk Chong Thain Vun
  • Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion

Punca kepada kejadian itu menjadi tanda tanya apabila pesawat tersebut tidak mempunyai kotak hitam untuk merekodkan kejadian yang berlaku di dalam pesawat. Pun begitu, saksi mengakui telah melihat pesawat tersebut seolah-olah berhenti seketika sebelum menjunam dari ketinggian 600 kaki dan terhempas tepat jam 3.41 petang.

Sumber: Daily Rakyat
Sumber: Daily Rakyat
Sumber: Daily Rakyat

Pada 28 Oktober 1976, siasatan rasmi punca kemalangan berlaku sudah disiapkan namun ia tidak dapat didedahkan kepada umum. Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat merumuskan bahawa kemalangan itu berpunca daripada kesilapan manusia apabila pesawat yang sepatutnya memuatkan enam orang telah dinaiki 11 orang. Malah ruang simpanan pesawat juga terlebih muatan. Sehingga kini kes ini kekal misteri.

2. Pesawat terhempas di Tawau rempuh rumah

Sumber: Facebook

Sekali lagi Sabah menjadi lokasi kemalangan apabila sebuah pesawat MAS, Fokker 50 telah terhempas di Lapangan Terbang Tawau pada 15 September 1995. Pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau itu telah terhempas ketika melakukan pendaratan. Kemalangan ini telah meragut nyawa 34 orang di dalam pesawat dan mencederakan sembilan orang mangsa di darat.

Semuanya bermula apabila pesawat tersebut dikatakan terbabas dari landasan dan menjunam ke kawasan perumahan penduduk yang berada berhampiran. Menurut saksi dan kakitangan MAS, mereka telah mendengar satu bunyi letupan yang kuat dan melihat kapal tersebut terbakar selepas merempuh 20 buah rumah kayu setinggan berhampiran. Kebanyakan penduduk di situ ialah warga Indonesia dan Filipina.

Sumber: BH
Sumber: BH

Hasil siasatan menyimpulkan bahawa kegagalan juruterbang dalam membuat keputusan yang pantas dan mematuhi SOP dalam penerbangan merupakan punca nahas ini berlaku. Disebabkan kecuaian itu 34 nyawa telah terkorban.

3. MH17 dibedil peluru berpandu

Sumber: RT

Ini antara tragedi yang sehingga kini masih berlegar di minda rakyat Malaysia dan telah menggemparkan dunia. Kisahnya bermula apabila penerbangan Malaysia Airlines Boeing 777 MH17 telah memulakan perjalanan dari Amsterdam ke Malaysia pada 17 Julai 2014.

Pun begitu, malang menimpa MH17 apabila ia telah ditembak jatuh di Wilayah Donetsk yang sedang dilanda perang saudara di timur Ukraine. Nahas ini telah mengorbankan kesemua 298 orang di atas kapal yang terdiri daripada 10 buah negara. Lebih menyedihkan, 80 orang daripada mangsa merupakan kanak-kanak!

Sumber: Blog
Sumber: News Au

Kes nahas penerbangan tersebut mula menimbulkan kemusykilan orang awam apabila ia telah diarah oleh pusat kawalan trafik udara Ukraine untuk terbang melalui zon konflik tersebut yang mana ia juga telah menjadi laluan bagi banyak lagi penerbangan lain seperti Singapore Airlines. Pun begitu, telah ditakdirkan pesawat MAS terkena tembakan dan terhempas musnah.

Meskipun segala penyiasatan teknikal telah dilakukan, sehingga kini tidak dapat dipastikan pihak mana yang melepaskan tembakan terhadap pesawat tersebut. Kes tragedi ini tidak menemui kesudahannya dan diharapkan suatu masa nanti pesalah dihadapkan ke muka pengadilan.

4. Tragedi Tanjung Kupang

Sumber: Blog

Pesawat Malaysia dirampas pengganas? Inilah kali pertama tragedi seperti ini dilaporkan berlaku di Malaysia sehingga meragut 100 nyawa. Kejadian yang berlaku pada 4 Disember 1977 ini bermula apabila penerbangan MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 7.21 malam dan dijangka akan transit Lapangan Terbang Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah) sebelum meneruskan perjalanan terakhir ke Singapura.

Namun sekitar jam 7.54 malam, pesawat yang berada pada ketinggian 4,000 kaki ini dilaporkan telah dirampas. Kapten G.K. Ganjoor telah memaklumkan hal ini kepada menara kawalan udara Subang bahawa mereka mempunyai masalah di atas kapal. Berikut antara perbualannya:

Kapten Ganjoor: Kami mempunyai kecemasan di atas kapal.
Menara Kawalan: Sila berikan butiran mengenai keadaan kecemasan.
Kapten Ganjoor: Kami mempunyai perampas di atas kapal.

Sebaik mendapat amaran kecemasan tersebut, pihak menara kawalan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Pada mulanya pesawat itu dijangka membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Subang. Namun, atas arahan pengganas atau sebab lain, mereka memberitahu bahawa akan meneruskan pendaratan di Singapura.

Kes ini makin membingungkan apabila sekitar jam 8.15 malam, semua komunikasi dengan MH653 telah terputus dan pesawat tersebut tidak dapat dikesan melalui radar lagi. 20 minit kemudian, penduduk Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Johor telah terdengar bunyi letupan yang amat kuat dan melihat bangkai kapal terbang tersebut sedang terbakar di dalam paya.

Sumber: Malaysian Review

Kesemua mangsa didapati telah meninggal dunia dan ia dilaporkan pesawat lokasi terhempas itu hanya 15 minit jauh dari destinasi terakhir, Singapura. Alahai…

Antara individu penting yang menaiki pesawat tersebut ialah:

  • Menteri Pertanian, Datuk Ali Ahmad
  • Duta Cuba, Mario Garcia Inchausteghi dan isteri
  • Usahawan Jepun, Tomio Gotto
  • Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad
  • Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Abu Bakar Othman Merican
  • Dua pegawai Bank Dunia, O.D. Hoerr dan S.A. Naime
Sumber: Syahril A Kadir
Sumber: Syahril A Kadir

Meskipun ada ura-ura mengatakan Tentera Merah Jepun atau gerakan anti-kerajaan Cuba yang menjadi dalang serangan pesawat ini, sehingga kini kes ini masih kekal misteri dan hasil siasatannya tidak pernah didedahkan kepada umum.

5. MH370 hilang tanpa jejak

Sumber: Saudi Gazette

Tanpa sebarang petunjuk, MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke China telah dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 dan sehingga kini masih belum ditemui. Walaupun sudah banyak tenaga dan usaha yang dikerjakan untuk mencari petunjuk akan kehilangan kapal terbang ini, semuanya menemui jalan buntu.

Misteri ini bermula apabila pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal telah dilaporkan hilang dari radar sekitar jam 2.14 pagi. Pesawat yang sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi itu didapati hilang daripada radar sebaik sahaja ia melakukan penerbangan merentasi Laut China Selatan.

Sumber: Panduan Malaysia

Keesokan hari, Kerajaan Malaysia dan Vietnam telah melakukan operasi pencarian pesawat yang dipercayai terhempas di perairan Vietnam yang mana ia menjadi tempat komunikasi terakhir antara pihak kawalan udara dan juruterbang pesawat. Pencarian menjadi sia-sia apabila bangkai kapal tidak ditemui dan selepas tiga hari pihak tentera membuat kenyataan bahawa MH370 telah merentasi bahagian utara tanah air dan dikesan radar Tentera Malaysia dan Thailand.

Pada 15 Mac 2014, Perdana Menteri Malaysia membuat kenyataan yang mengejutkan. Pesawat tersebut dikatakan telah sengaja dilencongkan dan terus terbang selama lebih dari enam jam selepas terputus hubungan daripada menara kawalan. Bermula dari ini pelbagai teori konspirasi timbul termasuklah ada yang menuduh Korea Utara, Rusia, Amerika dan pihak CIA menjadi dalang dalam menyorokkan pesawat MH370.

Sumber: Sputnik

Pun begitu, pada 20 Januari 2015, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) secara rasmi mengisytiharkan insiden tersebut sebagai kemalangan. Mereka menyimpulkan pesawat itu kehabisan bahan api dan terhempas di selatan Lautan Hindi. Sehingga kini misi pencarian bangkainya masih dijalankan, namun tiada penemuan baru setakat ini.

Mungkinkah persoalan mengenai misteri nahas kapal terbang ini bakal terjawab suatu masa nanti? Sama-sama kita nantikan…