7 CaraTangkap Gambar Kucing Supaya Kelihatan Cantik

7 CaraTangkap Gambar Kucing Supaya Kelihatan Cantik

KUCING adalah antara haiwan paling disayangi seluruh umat manusia sejagat. Tidak kiralah apa pun rupanya — comot, muka penyek, berbulu panjang, togel mahupun gemuk — kecomelan kucing memang tidak dapat dinafikan.

Tidak sah kalau seorang pencinta apatah lagi pemilik kucing ini tidak mengambil gambar gelagat dan aksi haiwan comel ini. Apa sahaja gerak lakunya memang cantik untuk diabadikan dalam bentuk foto. Namun cabaran yang sering dihadapi adalah bagaimana untuk mengambil gambar si comel dengan baik dan cantik?

Ini adalah antara panduan supaya anda dapat merakam keletah kucing dengan lebih baik.

1. Sabar. Ya. Anda memang perlu memiliki tahap kesabaran tinggi berdepan ‘model’ yang tidak tahu duduk diam ini. Anda akan sentiasa berdepan dengan kegagalan untuk mendapatkan shot yang cantik, walaupun sudah berpuluh gambar dirakam. Namun, kesabaran dan kepekaan terhadap pergerakan si comel ini adalah kunci untuk merakam detik terbaik.

2. Tarik perhatiannya. Kepayahan untuk merakam wajah kucing dapat diatasi sekiranya anda pandai menarik perhatiannya. Kalau anda mengambil gambar seorang diri, gunakan sebelah tangan untuk memegang kamera sementara sebelah tangan lagi untuk mengumpan pandangan subjek. Tarik perhatian kucing anda dengan petikan jari, alat permainan dan loceng. Kucing, sepertimana manusia, mudah tertarik kepada bunyi dan warna terang.

3. Turun ke paras yang sama dengan kucing. Antara kesilapan yang sering dilakukan ketika mengambil gambar kucing adalah merakamnya dari paras anda berdiri. Jarang hasilnya cantik. Gambar kucing atau haiwan secara amnya perlu diambil pada paras ketinggiannya. Itu akan lebih menampakkan personaliti subjek tersebut, dari perspektif yang sama taraf.

4. Bingkaikan subjek. Mengambil kira elemen yang ada di sekeliling kucing anda seperti rerumput dan pepohon kecil dapat memberikan lebih kedalaman kepada foto anda. Ia juga membangkitkan perasaan seperti mengintai kucing di dalam habitat semula jadinya, teknik yang sering dilakukan oleh jurufoto hidupan liar. Jika di dalam rumah, ambil gambarnya ketika sedang bermain di tempat-tempat persembunyian kegemarannya.

5. Fokus pada mata. Baik mengambil gambar potret manusia ataupun haiwan, mata perlu diberi tumpuan. Selalunya portret yang kabur pada mata subjek dikira sebagai portret yang kurang baik, namun tetap bergantung kepada matlamat komposisi gambar anda.

6. Kuasai pencahayaan. Cuba ambil gambar kucing anda ketika pencahayaan semula jadi (matahari) berada pada sudut rendah, ketika ia terbit dan sedang terbenam yang dipanggil sebagai ‘golden hour’. Ia dapat menyerlahkan bulu-bulu cantik kucing anda. Anda boleh mengambil gambar kucing pada waktu malam dengan baik tanpa efek pantulan pada mata mereka, dengan syarat flash tidak dihalakan terus kepada subjek. Menggunakan softbox juga dapat mengelak pembentukan bayang-bayang tajam.

7. Tetapan kamera. Ramai jurugambar berpengalaman membuat tetapan kamera kepada mod ‘Aperture Priority’ (Av/A) dengan ISO rendah untuk meminimumkan ‘noise’ pada gambar untuk membolehkan ‘shutter speed’ disesuaikan secara automatik. Tiada masalah dengan tetapan ini, cuma ia akan menyebabkan anda tidak dapat merakam gambar aksi pantas kucing dengan cantik.

Begitu juga sekiranya menetapkan kamera pada mod ‘Shutter Priority’ (Tv/S), anda berupaya mengawal ‘shutter speed’ tetapi kualiti gambar akan menjadi tidak sekata memandangkan aperture dan ISO disesuaikan secara automatik. Dinasihatkan supaya anda menetapkan kamera secara manual dan Auto ISO supaya anda ada penguasaan yang lebih luas mengikut kesesuaian pencahayaan dan pergerakan subjek.

Disebabkan kucing merupakan haiwan yang sukar dibaca pergerakannya, pastikan anda menetapkan kamera dengan mod ‘Continuous Drive’ yang akan merakam beberapa ‘frame’ secara berterusan dalam satu ketikan atau ‘shot’. Anda akan ada lebih banyak pilihan daripada setiap perubahan pergerakan subjek anda.

Kredit: CATTERY

1