Abang Posmen Tu Minta Aku Bayar RM 168 Untuk Barang Yang Aku Tak Order

Abang Posmen Tu Minta Aku Bayar RM 168 Untuk Barang Yang Aku Tak Order

Pada zaman sekarang, terdapat ramai penipu yang berusaha keras untuk mendapatkan wang orang lain dengan cara yang sangat mudah. Pelbagai cara yang mereka gunakan untuk menipu kita.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada kerana baru-baru ini, seorang wanita, Fatimah Farhana Ali, berkongsi kisah di Facebook, di mana suaminya yang membayar caj penghantaran barangan sebanyak RM168. Apa yang mengelirukan adalah barang tersebut tidak pernah dipesan pasangan berkenaan.

“Suami menerima panggilan daripada wakil syarikat perkhidmatan penghantaran tersebut yang menjelaskan bahawa terdapat barang yang perlu dihantar di rumah. Penghantar berkenaan berkata bahawa dirinya telah berada di hadapan rumah dan perlu menerima bayaran untuk penghantaran tersebut,” katanya.

Difahamkan suaminya tidak memeriksa terlebih dahulu dengan syarikat penghantaran berkenaan lalu membuat pembayaran pada penghantar tersebut.

“Suami saya ‘dipaksa’ menerima barangan berkenaan dan dikehendaki membayar sebanyak RM168,” jelasnya. Apa yang berlaku selepas itu ternyata mengejutkan. Nilai barangan berkenaan hanyalah dalam lingkungan bawah RM5 sahaja! Malah, barang tersebut tidak berfungsi.

Terdapat juga beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman mereka yang hampir ditipu di ruangan komen. Seorang pengguna, Maya Aleeshca berkata, insiden yang sama berlaku padanya. Penipu tersebut menggunakan nama dan alamat profil pada Facebooknya.

Apabila penipu itu tiba, dia mendakwa bahawa dirinya merupakan penghantar dan khidmatnya perlu dibayar. Maya kemudian tidak menerima bungkusan berkenaan kerana tidak memesannya. Tetapi bapanya hampir membayar sebanyak RM150 pada lelaki itu.

Seorang lagi pengguna, Asmida Rustan, turut berkongsi kisahnya di mana dirinya juga nyaris ditipu walaupun telah membatalkan pesanan. Namun penghantar bungkusan tersebut seboleh-boleh mahu menghantar barangan berkenaan.

Asmida kemudian berkeras tidak mahu membayar ekoran penghantar itu tidak berupaya memberikan maklumat penghantar. Penyudahnya, pengantar itu pulang. Justeru, orang ramai di luar sana dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati selain ambil perhatian akan barangan yang anda pesan secara dalam talian bagi mengelakkan insiden seperti ini berlaku pada anda. Selain itu, elakkan berkongsi alamat rumah di laman sosial.

Sumber: ERA BARU

2