Adakah Rakyat Malaysia Hargai Abang Bomba Selamatkan Kucing Dan Manusia

Adakah Rakyat Malaysia Hargai Abang Bomba Selamatkan Kucing Dan Manusia

“Pengorbanan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sering menyelamatkan kucing bermasalah amat dihargai pihak persatuan,” ujar Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid.

Penghargaan itu dizahirkan melalui majlis ramah mesra sempena Aidilfitri dianjurkan Kelab Kucing Malaysia bersama anggota JBPM dan APM di Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Majlis santai berkenaan diadakan bagi menghargai usaha keras kedua-dua agensi yang kerap terbabit dalam operasi khidmat khas menyelamatkan kucing yang berdepan situasi cemas di seluruh negara.

Khalid berkata, program itu adalah langkah awal kerjasama dua hala antara agensi penguat kuasa yang banyak menyelamatkan haiwan dengan kelab atau persatuan pencinta haiwan.

Beliau berkata, idea mengadakan majlis berkenaan timbul selepas wartawan Harian Metro menghubunginya bagi meminta komen berhubung kaedah penjagaan dan keselamatan kucing yang menghadapi situasi cemas seperti terperangkap di tempat sempit dan tinggi.

“Sebagai permulaan, kami mengadakan majlis kecil-kecilan sambil berkenalan dengan anggota bomba dan APM. Dalam majlis ini kami berkongsi sedikit sebanyak informasi mengenai kucing dan kes yang pernah dihadapi bomba serta APM,” katanya.

Khalid berkata, beberapa aktiviti susulan mungkin diadakan pada masa akan datang membabitkan kedua-dua agensi penyelamat itu.

“Kami turut mendapat maklum balas yang baik daripada kedua-dua agensi ini selain merancang beberapa aktiviti yang lebih besar bagi mengeratkan hubungan yang terjalin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, dia membuka pintu kepada mana-mana pihak yang mengiktiraf usaha pasukan itu dalam menyelamatkan manusia, harta benda dan haiwan.

“Saya berbesar hati dan menghargai keprihatinan KKM terhadap tugas dan tanggungjawab bomba mahupun APM,” katanya.

Metro Ahad, semalam turut mendedahkan usaha berterusan pihak JBPM dan APM dalam menyelamatkan banyak kes membabitkan kucing terperangkap, tersepit atau berdepan situasi cemas di seluruh negara.

Sumber: HARIAN METRO

2