AKIBAT LAMBAKAN DI PASARAN, HARGA DURIAN MUSANG KING JATUH 50%!!!

AKIBAT LAMBAKAN DI PASARAN, HARGA DURIAN MUSANG KING JATUH 50%!!!

(SEORANG peminat durian Musang King meneliti pokok yang lebat berbuah menunggu masa untuk gugur.  FOTO Ramli Ibrahim & Nazurul Roselan)

Kuala Lumpur : Rahmat bagi penggemar durian Musang King apabila raja buah daripada gred mahal itu kini turun hampir 50 peratus berikutan lambakan bekalan di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Lembah Klang mendapati durian jenis itu kini boleh dibeli antara RM35 hingga RM90 sekilogram bergantung kepada gred.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ah Chew, musim buah berkenaan menjadikan harga durian turun termasuk Musang King.

“Jika bukan musimnya, harga buah berkenaan adalah tinggi kerana kesukaran untuk mendapatkannya.

“Tetapi kini harga durian jenis itu dijual sekitar RM45 daripada RM90 sekilogram dan kami mampu menjualnya sekitar dua tan dalam masa sehari,” katanya yang ditemui Harian Metro di gerainya di Petaling Jaya, dekat sini.

Seorang lagi peniaga di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Erik Ong, 31, berkata, harga bagi durian ini akan berubah pada setiap hari dan juga mengikut musimnya.

“Penggemar durian akan tetap membelinya walaupun ketika mahal, apatah lagi ketika musim murah,” katanya.

Sebelum ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menafikan mesej viral berhubung kegagalan 20 kontena durian Musang King yang kononya tidak dibenarkan memasuki China disebabkan kandungan racun serangga yang tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOA, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan yang dipetik menerusi laman Facebook miliknya menyatakan tuduhan terbabit sangat tidak berasas dan tidak sahih.

“Menerusi gambar yang ditularkan, ciri-ciri buah durian berkenaan dilihat berbeza dengan Musang King dari negara ini.

“Buat masa ini negara hanya diberikan kebenaran untuk mengeksport durian separa proses dan produk industri asas tani yang berasaskan durian,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber : Harian Metro

 

1