Anak Kucing 6 Bulan Masih Hidup Walaupun Berada Dalam Mesin Basuh

Anak Kucing 6 Bulan Masih Hidup Walaupun Berada Dalam Mesin Basuh

HOBART: Seekor anak kucing berusia enam bulan bernasib baik kerana terselamat biarpun setengah jam terperangkap di dalam mesin basuh tuannya dalam kejadian di Tasmania, Australia.

Straits Times yang memetik ABC Online melaporkan, kucing betina bernama Poppy itu kini semakin pulih daripada kecederaan di kepala dan lebam selepas menerima rawatan segera.

Pemiliknya, Kim Burr berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang leka mencuci pakaian dan tidak sedar kucing terbabit masuk ke dalam mesin berkenaan.

“Kami mencari di seluruh almari dan rumah tetapi tidak menemuinya. Dia mungkin melompat ke dalam mesin ketika saya sibuk memasukkan pakaian,” katanya.

Kim berkata, dia pada mulanya menyangkakan haiwan itu sudah mati sebaik melihatnya di dalam mesin basuh sebelum menghantar ke Pusat Perubatan Haiwan di Launceston, Tasmania.

Sementara itu, doktor veterinar berpengalaman 32 tahun yang merawat Poppy, Dr Tim Laws berkata ia adalah kali pertama dia melihat kejadian seperti itu.

“Saya melihat banyak perkara luar biasa sepanjang bertugas namun, ini adalah pengalaman kali pertama. Agak menakjubkan apabila Poppy terselamat dan tidak lemas dalam mesin basuh,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1