Anak Saya Sampai Demam Bila Tengok Kucing Kesayangan Kaku Atas Lantai

Anak Saya Sampai Demam Bila Tengok Kucing Kesayangan Kaku Atas Lantai

Gambar kanak-kanak menangisi kematian kucing kesayangannya yang terjatuh dari tingkat sembilan meruntun hati pencinta kucing sehingga ramai menawarkan kucing baru.

Ramai yang bersimpati kepada pemiliknya, Muhammad Amirul Danish Muhammad Azrul, 10, yang menemui sendiri kucing itu tidak bernyawa dalam keadaan sebelah mukanya hancur.

Kanak-kanak itu yang lebih mesra disapa Amirul berkata, kejadian berlaku pada 12 November lalu pada 10.30 pagi.

“Mula-mula dia hilang dan saya cari satu rumah tak jumpa. Jiran ada beritahu kepada ayah ada kucing terjatuh dan saya pergi tengok.

“Saya sedih bila jumpa Comel dah mati di aras bawah rumah dan mungkin dia jatuh sebab panjat balkoni rumah.

“Tiada lagi peneman saya semasa tidur. Comel sangat manja dengan saya dan ia kucing pertama saya selepas diberi kawan dua tahun lalu ketika usianya satu tahun,” katanya.

Kematian Comel, kucing betina baka Birman turut menyebabkan Amirul demam sehari kemudian.

Kesedihan murid tahun empat itu bagaimanapun sedikit terubat apabila ada yang menawarkan kucing baru bagi menggantikan Comel.

Kucing betina berusia 11 bulan baka Scottish Straight diberikan seorang daripada beberapa individu yang menghubungi ibunya dan Amirul sendiri memilih kucing itu.

Sabtu lalu, Amirul menerima kucing yang diberi nama Kitty.

Senyuman tidak lekang daripada bibir Amirul dan kelihatan teruja apabila diminta bergambar dengan Kitty walaupun tahu keletahnya nanti belum tentu sama dengan Comel.

“Saya akan jaga dia baik-baik, beri dia makan dan jinakkan dia. Buat masa ini Kitty masih takut-takut kerana masih belum biasa dengan tempat baru,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nor Asyikin Hassan, 34, yang memuat naik gambar itu di FB tidak menyangka ramai sudi menawarkan kucing baru kepada anaknya itu.

“Amirul memang menyayangi kucing sejak dia kecil lagi dan selalu membawa pulang kucing yang dikutip dari jalanan sebelum saya membenarkan dia memelihara Comel.

“Ada yang tawarkan kucing serupa macam Comel tetapi saya tidak dapat mengambil kucing itu kerana terlalu jauh sebelum Amirul pilih kucing yang sepatutnya dijual pada harga RM1,700,” katanya yang mempunyai dua lagi kucing.

Nor Asyikin berkata, dia berterima kasih kepada pemilik D’Fenomena Cattery, Mohd Badrul Zaman Mohd Basri, 36, yang memberikan Kitty kepada Amirul.

Mohd Badrul Zaman ketika dihubungi berkata, dia memberikan Amirul Kitty secara percuma walaupun pernah mengiklankan kucing berkenaan.

“Saya terdetik untuk memberikan Amirul seekor kucing selepas melihat gambarnya yang sedang bersedih seterusnya mengingatkan saya ketika saya masih kecil.

“Naluri mengatakan Amirul boleh menjaga kucing ini dengan baik, jadi apa salahnya saya berikan kucing ini secara percuma dengan seikhlas hati,” katanya yang dalam perancangan untuk membuka kedai haiwan peliharaan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1