Ayah Memang Tak Suka Kucing, Tapi Kini Dia Yang Sibuk Bertanya Kucing Dah Makan Ke

Ayah Memang Tak Suka Kucing, Tapi Kini Dia Yang Sibuk Bertanya Kucing Dah Makan Ke

BETUL kata orang dulu-dulu… ‘jangan benci sangat, lama-lama jatuh sayang’. Seperti kisah seorang bapa yang gelagatnya sedang asyik merakam gambar seekor kucing peliharaan di rumahnya menjadi tular di seluruh dunia . Rakaman berdurasi 0:19 saat itu mendapat lebih tiga juta ‘view’ dan 111,000 ulang kicau (retweet).

Menurut anak perempuannya, Nuralia Natasya Khairil, sebelum ini kisah bapanya, Datuk Khairil Anwar dengan haiwan bernama kucing tidaklah ‘indah’ atau ‘comel’ seperti apa yang dilihat dalam rakaman.

“Tiga tahun lalu ayah saya memang tak suka kucing. Bukan itu sahaja, dia turut berpesan supaya jangan sesekali mana-mana kucing dibela atau dibawa masuk ke dalam rumah.

“Tetapi pada tahun 2016, kami sekeluarga kebetulan menonton sebuah rancangan televisyen yang memberitahu kucing merupakan terapi terbaik kepada penghidap autisme dan adik bongsu saya, Aikal Imran, merupakan penghidap autisme.

“Jadi tanpa pengetahuan ayah, saya membawa balik anak kucing yang diberi nama Moon,” ujarnya berkongsi cerita kepada mStar.

Jelas Alia, 23, penerimaan ayahnya terhadap kucing semakin baik selepas haiwan kesayangan ramai itu tinggal bersama dan menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

“Memang mula-mula ayah tidak sukakan kucing. Tetapi lama kelamaan kita boleh nampak layanan ayah terhadap Moon semakin baik. Dia selalu tanya kami sama ada Moon dah makan ke belum. Ketika saya merakam gelagat ayah sedang ambil gambar Moon, ayah langsung tak sedar,” ujar anak sulung daripada empat orang adik beradik ini.

Dalam pada itu, Khairil mengakui perasaan sayangnya terhadap Moon sememangnya bertambah berbanding sebelum ini. Nak kata terlalu sayang tu taklah juga. Cuma apabila Moon berada dekat dengan saya, saya akan layan dia dengan baik. Dia juga selalu teman saya duduk bersantai di rumah.

“Lagipun kita semua tahu kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW dan jika kita peliharanya dengan baik, dapatlah pahala,” jelasnya yang terkejut dengan jumlah ‘view’ rakaman tersebut. Dalam pada itu, Khairil juga tidak menafikan sejak kehadiran Moon, keadaan anak bongsunya semakin positif.

“Aikal semakin baik. Alhamdullilah… Dia juga semakin aktif di sekolah, pandai mengawal perasaan marah.

“Saya menghantarnya ke sekolah normal dan dia boleh bergaul dengan baik. Siapa sangka dengan terapi membela kucing keadaannya semakin baik,” tambahnya. Selain itu Alia menambah bahawa, tahun lalu dia telah membawa masuk ‘satu’ lagi anggota baharu dalam keluarga.

“Sekarang sudah ada dua ekor kucing. Tahun lalu saya bawa masuk Luna sebagai peneman Moon,” ujarnya gembira.

Sumber: mStar