Beruang Kutub Ditemui Berada Dalam Keadaan Lemah Di Timbunan Sampah

Beruang Kutub Ditemui Berada Dalam Keadaan Lemah Di Timbunan Sampah

MOSCOW: Imej seekor beruang kutub yang merayau dalam keadaan lemah, kebuluran dan keliru di sebuah tapak pelupusan sampah baru-baru ini di bandar Norilsk, Rusia meresahkan golongan pemerhati sedunia khususnya pencinta haiwan serta alam sekitar.

Mamalia yang meninggalkan habitatnya di Artik yang sejauh ratusan kilometer itu membuka mata ramai tentang isu pemanasan global, pencairan ais, pemusnahan habitat dan juga kerosakan besar yang dilakukan manusia.

Beruang itu pada Jumaat akhirnya berjaya ditempatkan di sebuah zoo di bandar Krasnoyarsk, Siberia untuk menjalani rawatan, lapor Reuters.

Ketika gambar dan video beruang betina berusia dua tahun itu mula tular Ahad lalu di Norilsk, ia dalam keadaan sangat tidak sihat dan hampir mati selepas menggeledah sampah sarap tanpa menemui sebarang sumber makanan.

Syarikat minyak Rosneft, dalam satu kenyataan berkata bahawa pihaknya turut terlibat dalam operasi memindahkan haiwan tersebut dari Nirilsk ke Krasnoyarsk.

“Beruang itu kini menerima segala rawatan dan makanan kesihatan yang sewajarnya,” ujar kenyataan itu.

Perubahan iklim ternyata telah memusnahkan habitat dataran ais di kutub dan itu memaksa haiwan-haiwan di situ bergerak lebih jauh untuk mencari makanan di tanah yang didiami manusia.

Setakat ini masih tiada butiran terperinci tentang bagaimana beruang kutub itu sampai di Norilsk.

Seorang pakar hidupan liar, Oleg Krashevsky, yang terserempak dengan beruang itu sewaktu di Norilsk, berkata bahawa ia berkemungkinan tersesat. Tambahnya, semasa ditemui, mata beruang itu berair, dan ia tidak dapat melihat dengan jelas.

Krashevsky berkata, beruang itu terlalu lemah untuk dihantar pulang ke habitat asalnya.

Sumber: ASTRO AWANI

1