Biakkan Kucing Comel Dan Jual Seekor RM 3000

Biakkan Kucing Comel Dan Jual Seekor RM 3000

Bagi mendapatkan baka berkualiti, kucing betina mencapai usia matang saja dibenarkan melahirkan anak dua kali setahun. Ini kerana kesihatan yang baik mempengaruhi anak kucing yang membesar tanpa masalah serta tidak mudah dijangkiti penyakit.

Bagi Nor Bashah Ahmad, 26, yang terbabit dalam projek menghasilkan kucing baka tulen berkata, selepas empat tahun berkecimpung dengan projek itu, dia berjaya menghasilkan 30 kucing.

Katanya, enam baka tulen import yang dihasilkan menggunakan cara semula jadi ialah American Curl, Persian, British Short Hair, British Long Hair, Bengal dan Scottish Fold.

Katanya, pada peringkat awal pembabitan dia mengeluarkan modal besar membeli kucing dengan harga RM1,000 hingga RM3,000 seekor sebelum dibiakkan.

“Kucing betina hanya matang dan sedia bunting selepas berumur lapan bulan hingga dua tahun bergantung kepada baka. Pelbagai masalah berlaku jika kucing bunting pada usia muda.

“Saya mengehadkan kebuntingan setiap kucing betina bagi memastikan anak yang dilahirkan berkualiti seperti sihat, cergas dan tidak mudah dijangkiti penyakit,” katanya yang menetap di perumahan Taman Seri Inderapura, di sini.

Nor Bashah yang mempunyai lebih 30 kucing pelbagai baka berkata, setiap anak kucing yang dihasilkan mempunyai sijil kelahiran dan pengenalan diri termasuk kad rawatan.

Dia yang menguruskan Syarikat Shahkir Pet House bersama rakannya, Mohd Khairul Amir Matudin, 24, berkata, anak kucing yang dihasilkan dijual pada harga antara RM500 danRM3,000 seekor mengikut baka.

Menurutnya, kucing sangkar ditempatkan dalam bilik khas dilengkapi penghawa dingin dan kipas bagi memastikan tahap kesihatan binatang itu dalam keadaan baik serta memuaskan.

“Saya menyediakan perbelanjaan lebih RM1,000 untuk menyediakan makanan, rawatan, syampu mandian dan vitamin kepada kucing kerana kos akan bertambah sehingga dua kali ganda apabila kucing mengalami masalah kesihatan.

“Disebabkan terlalu sayang kepada kucing saya tidak pernah rasa terbeban mengeluarkan perbelanjaan besar untuk haiwan peliharaan ini,” katanya yang juga ahli Kelab Kucing Nakal Pahang.

Nor Bashah berkata, bagi memenuhi masa terluang dia menyertai pertandingan kucing di seluruh negara dan tahun ini, sembilan pertandingan disertai dengan tiga kali muncul juara keseluruhan.

Katanya, kucing baka American Curl bernama Royale Fellipe meraih banyak kejayaan setiap kali menyertai pertandingan membabitkan kategori bulu panjang.

“Tahun lalu saya kerugian lebih RM4,000 apabila dua kucing baka Persian dicuri dan tingkap bilik kucing saya dipecah pencuri ketika saya keluar berkerja.

“Saya akan mengadakan banyak kelas menjaga kucing tahun depan membabitkan ahli Kelab Kucing Nakal Pahang yang kini mencecah 3,000,” katanya yang terbabit mengadakan pertandingan kucing.

Sumber: HARIAN METRO

1