Bolehkah Bayi Makan Durian?

Bolehkah Bayi Makan Durian?

Bagi rakyat Malaysia, durian boleh dianggap sebagai raja buah dan baunya sahaja boleh membuatkan penggemarnya meleleh air liur. Walaupun baunya kurang menyenangkan bagi sesetengah orang, ia adalah bau paling menyelerakan bagi peminatnya.

Malah, penggemar durian ini merangkumi pelbagai lapisan umur, termasuklah bayi dan kanak-kanak. Buktinya, beberapa tahun sebelum ini pernah tular video seorang kanak-kanak sedang menikmati durian di YouTube.

Bagaimanapun, terdapat beberapa dakwaan mengatakan adalah tidak baik untuk golongan ini memakan buah tersebut atas sebab-sebab tertentu. Tapi, betul ke?

Sebelum menjawab persoalan itu, mari kita kenali terlebih dahulu apakah yang terkandung dalam seulas durian ini.

Durian sebenarnya mempunyai banyak kandungan nutrisi, kaya dengan protein, vitamin, kalsium, zat besi dan sebagainya, Namun, ia juga mengandungi kadar gula yang sangat tinggi.

Foto: HuffPost
Maka, bagi menjawab persoalan tersebut, jika menurut laman How to be Health, bayi atas satu tahun dan kanak-kanak boleh memakan durian tetapi perlu dihadkan pada jumlah yang sedikit berbanding orang dewasa, terutama pada bayi.

Ini kerana golongan ini boleh mendapatkan tenaga dan nutrien yang dibekalkan oleh durian untuk tumbesaran mereka. Akan tetapi, memakan durian dengan kadar yang terlampau banyak akan menyebabkan suhu mereka meningkat dan membahayakan kesihatan mereka.

Bukan sahaja kanak-kanak, orang dewasa juga tidak mustahil diserang demam panas jika memakan durian terlampau banyak. Jadi, berpada-pada ya.

Ia juga boleh menyebabkan bayi mengalami sakit tekak, insomnia dan beberapa masalah kesihatan lain. Oleh sebab itulah bayi, kanak-kanak dan termasuk kita orang dewasa perlu meminum air yang banyak selepas menikmati durian.

Elakkan untuk bayi berusia bawah satu tahun Bagi bayi yang belum mencecah usia satu tahun, adalah sangat tidak digalakkan untuk diberi makan durian walaupun pada kadar yang sedikit.

Ia kerana mereka mungkin mengalami reaksi negatif terhadap bau durian yang kuat, sekaligus boleh mengganggu deria rasa mereka. Selain itu, durian juga dikhuatiri akan menghalang rongga tekak dan trakea bayi kecil yang mungkin menyebabkan mereka lemas, pada situasi terburuk.

Oleh itu, sempena dengan musim durian kali ini, diharapkan ibu bapa dapat lebih peka dalam mengawal kadar pengambilan durian anak-anak terutama sekali bayi-bayi kecil.

Sumber: How to be Health

2