Bomba Berjaya Selamatkan Kucing Yang Berada Di Dalam Api

Bomba Berjaya Selamatkan Kucing Yang Berada Di Dalam Api

SEEKOR kucing diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam kebakaran di kilang penyaman udara di Jalan Baru Batu Maung, Bayan Lepas, hari ini.

Haiwan itu ditemui basah akibat terkena pancutan air ketika bomba melakukan operasi memadam kebakaran kilang berkenaan.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari, hampir keseluruhan kilang berkenaan musnah. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.46 tengah hari memaklumkan kebakaran itu.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru serta Jalan Perak dibantu pasukan bomba sukarela bergegas ke lokasi.

“Ketika tiba, anggota mendapati api marak dengan 90 peratus bangunan kilang itu musnah. Kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian belakang yang dijadikan sebagai gudang,” katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku namun bomba berjaya menyelamatkan seekor kucing yang ketika itu terperangkap dalam kilang.

“Kucing itu ditemui dalam keadaan bulunya basah dipercayai akibat terkena semburan air ketika anggota memadam kebakaran. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1