Bomba Pun Pelik Macam Mana Besi Ini Boleh Masuk Kepala Anak Kucing

Bomba Pun Pelik Macam Mana Besi Ini Boleh Masuk Kepala Anak Kucing

SELAIN bergadai nyawa menyelamatkan jiwa dalam kebakaran, pasukan bomba turut menyerlahkan sifat penyayang mereka terhadap haiwan apabila menyelamatkan seekor kucing yang tersangkut pada tungku dapur gas.

Tiada tugas yang dianggap remeh oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika mereka menjalankan tugas. Sentiasa bersiap siaga menerima apa sahaja aduan dan sedia menghulurkan bantuan dalam apa jua keadaan.

Melalui satu posting yang dimuat naik oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia melalui laman sosial tempatan, kelihatan seekor anak kucing yang masih kecil tersangkut lehernya pada sebuah tungku dapur gas.

Pemilik si comel ini segera membawanya ke sebuah balai bomba berdekatan untuk ditanggalkan tungku dapur itu daripada leher haiwan kesayangan ramai ini.

Ternyata, dengan segala kepakaran dan kelengkapan yang ada, pihak bomba berkenaan berjaya menyelamatkan haiwan malang itu daripada terus terseksa. Setelah itu, haiwan comel ini dikembalikan kepada tuannnya.

Memang lumrah seekor kucing pada umur sebegini suka bermain-main dengan semua benda. Sifat ingin tahu dan ‘kenakalan’nya kadang-kadang mengundang padah pada diri sendiri.

Rata-rata netizen yang melihat foto-foto yang dimuat naik itu memuji sifat murni ahli bomba dan pelbagai spekulasi yang timbul berkenaan aksi si comel ini.

Ada antara pengguna media sosial berseloroh mengatakan haiwan comel ini cuba untuk memasak, ada yang mengatakan si comel itu cuba menjadi seekor naga dan sebagainya.

Walau apapun yang dilakukan oleh haiwan comel ini, sifat ‘periang’nya berjaya memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. – MYNEWSHUB.CC

1