Cara Untuk Melatih Kucing Supaya Dengar Cakap Kita

Cara Untuk Melatih Kucing Supaya Dengar Cakap Kita

Kucing comel yang gemar mendengar kata mungkin menjadi idaman buat setiap pencinta kucing yang baik hati. Ya lah, bayangkan jika kucing anda memahami apa sahaja yang anda pinta, pasti kegembiraan anda akan bertambah bukan?

Sebenarnya kucing mampu untuk mempelajari sesuatu yang baru dan dalam erti kata yang lain anda boleh melatih kucing anda mempelajari sesuatu yang baharu sehingga ia mendengar kata-kata anda. Untuk pengetahuan kita bersama, kucing akan kuat “berfungsi” untuk mendapatkan makanan. Oleh itu jika anda ingin melatih kucing comel anda mempelajari sesuatu teknik yang baru, latihlah ia sambil memberi makanan yang sesuai.

Sebagai contoh, melatih kucing comel anda buat pertama kalinya untuk menyuruh ia duduk adalah sesuatu teknik mudah yang mesti anda cuba.

Apa yang perlu anda lakukan adalah katakan “Duduk” atau “Sit” atau “Down” atau apa sahaja yang bersesuaian pada kucing anda ketika ia sedang berjalan dengan mengumpannya pada kedudukan yang anda mahukan bersama sedikit makanan yang disukainya.

Jika ia sudah berada pada posisi duduk, anda mesti berikan ia makan. Cubalah beberapa kali dan saya pasti yang anda mampu membuatkan kucing comel anda duduk bila anda mahukan ia duduk, bahkan tanpa mengumpannya dengan makanan sedikit pun.

Tahukah Kita?
Kucing yang masih muda lebih mudah dijinakkan kerana ia masih belum mengalami pahit getirnya kehidupan. Berlainan pula dengan kucing yang sudah dewasa, walaupung boleh dijinakkan tetapi mereka masih tetap memiliki perilaku liar dan agak sukar untuk dihilangkan. Kucing-kucing liar dewasa akan tetap memiliki naluri mempertahankan diri mereka dari segala bahaya.

Mengajar kucing anda untuk datang kepada anda ketika anda memanggil namanya sepatutnya amat mudah jika kucing anda tahu dan mampu bertindak balas terhadap nama mereka.

Menurut pakar, anda boleh menggunakan arahan yang sama setiap kali memanggil kucing comel kesayangan anda dan pastikan anda memberikan ia ganjaran setiap kali ia datang kepada anda. Cukup hanya dengan memanggil namanya, sebutkan arahan anda dan berikan ganjaran kepadanya bila ia sampai kepada anda.

Anda mungkin perlu mengumpannya kepada anda beberapa kali pada permulaannya.

Tidak kiralah apa teknik sekalipun yang anda ingin kucing anda lakukan, perkara yang paling penting yang anda mesti lakukan adalah memberikan kucing comel anda ganjaran setelah ia menuruti kehendak anda.

Jangan lupa, di samping latihan yang sistematik, kesabaran yang tinggi juga sangat diperlukan ketika melatihnya. Kucing atau anak kucing perlu dilatih untuk datang bila dipanggil kerana ini akan memudahkan ia untuk menjauhkan dirinya dari bahaya.

Rujukan: KucingComelMeow

2