Datuk Seri Najib Razak Dapat Hadiah Kucing RM10 Ribu

Datuk Seri Najib Razak Dapat Hadiah Kucing RM10 Ribu

BUKAN saja comel, ia juga sangat manja malah suka digomol dan dipeluk. Itu karakter Sugar, seekor kucing jantan baka Parsi eksotik yang dihadiahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh Kelab Pencinta Kucing Malaysia.

Sugar yang berusia enam bulan dengan bulunya warna putih dan sedikit hitam berharga RM10,000 dihadiahkan kepada Najib dalam satu majlis makan malam anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di kediaman rasminya, Seri Perdana malam semalam.

Presiden Kelab Pencinta Kucing Malaysia Thomas Jong berkata, Sugar dipilih sebagai hadiah kepada Perdana Menteri kerana disifatkan antara kucing baka Parsi eksotik yang terbaik.

“Sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kucing yang akan dihadiahkan kepada beliau, kami bertanyakan kepada pihak Perdana Menteri mengenai baka yang sudah dipeliharanya.

“Memandangkan beliau belum mempunyai kucing baka Parsi eksotik, kami memilih Sugar sekali gus hadiah istimewa daripada kami memandangkan kita tahu, Perdana Menteri sangat menyayangi kucing dan memelihara beberapa ekor haiwan manja ini,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Pada masa sama, Thomas berkata, beliau dimaklumkan Najib mempunyai lapan kucing pelbagai baka dan dipelihara di kediaman rasminya Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya.

“Malah, saya difahamkan Sugar dibawa ke kediaman peribadi beliau di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan di sana, beliau turut mempunyai dua lagi kucing bernama Kiky dan Koko.

“Semasa naik ke pentas dan menyerahkan Sugar, Perdana Menteri mengangkat dan menciumnya sekali gus memperlihatkan, beliau sangat menyayangi dan menyukai kucing.

“Kucing adalah haiwan suka bermanja dengan manusia dan memeliharanya juga suatu terapi menghilangkan tekanan terutama selepas seharian di tempat kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Thomas berkata, hadiah kucing berkenaan juga simbolik pelancaran The Dewan oleh Najib pada majlis makan malam itu yang mengandungi 16 program di bawah empat kategori iaitu pembinaan kapasiti, perkongsian pintar, jangkauan awam dan dewan global.

“Industri haiwan peliharaan di Malaysia ini berkembang dengan pesat serta tidak pernah jatuh jadi, bertitik tolak dengan pelancaran itu, beliau mahu menggerakkan industri berkenaan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi akaun Instagram Najib Razak, beliau turut memuat naik gambar Sugar dengan keterangan, “Bawa balik kawan baru untuk Kiky hari ini! Dia mesti suka”

Sumber: HARIAN METRO

2