Dia Selekeh Dan Tidak Berduit Tapi Disayangi Haiwan Jalanan

Dia Selekeh Dan Tidak Berduit Tapi Disayangi Haiwan Jalanan

GAYANYA nampak biasa-biasa saja dengan pakaiannya yang cukup sederhana, jika berselisih dengan pemuda ini mungkin tiada siapa yang ambil peduli. Namun, dia bukan orang biasa apabila sering dikerumuni sekumpulan kucing dan anjing liar yang menunggunya untuk mendapatkan makanan.

“Kerja jaga parkir kereta di pekan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Separuh atau lebih gajinya dihabiskan untuk membeli makanan kepada kucing dan anjing liar di daerah ini. Mulianya hati hang walaupun imej nampak biasa-biasa tapi hati siapa yang tahu. Siapa yang tinggal di kawasan Bukit Mertajam pasti akan terserempak dengan budak ni di lorong-lorong kedai atau bawah jambatan,” kata Azman Ali menerusi perkongsian tularnya ini di laman sosial Facebook pada Khamis.

Azman, 45, berkata, perkongsian tersebut dibuat susulan perbualannya bersama pemuda Melayu bernama Anfalazie dua hari lalu, ketika itu pemuda berkenaan sedang memberikan makanan kepada kucing dan anjing jalanan. Namun dia yang bertugas di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) memberitahu dia sebenarnya pertama kali terlihat pemuda berkenaan semasa bertugas di sekitar Bukit Mertajam, pada 2017.

“Dia dulu berambut panjang, pakai baju lusuh dengan seluar pun koyak. Sekali pandang, dia memang nampak selekeh. Tapi apa yang dia buat ternyata berbeza.

“Setiap kali terjumpa, dia biasanya sedang memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan, termasuk anjing-anjing liar. Sekarang dia tidak lagi berambut panjang tapi gayanya masih sama begitu sederhana,” katanya kepada mStar. Azman berkata, pemuda berusia awal 20an itu seorang yang pemalu tetapi berkongsi minatnya terhadap kucing, malah membela kira-kira 30 ekor kucing di rumah.

Walaupun membela banyak kucing, ia bukan penghalang bagi pemuda itu untuk berkongsi kasihnya kepada haiwan-haiwan di jalanan. Menurut Azman, pemuda yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang itu sering dilihat memberi makanan dua kali setiap hari iaitu pagi dan petang di beberapa lokasi.

“Saya pernah tanya kalau cuti macam mana? Dia cakap dia tak akan pergi ke mana-mana atau bercuti sebab nak beri makan kerana dia sangat sayangkan haiwan-haiwan tu. Kalau dia tak datang, nanti tak ada makanan. Kalau hari hujan, dia tetap datang seperti biasa. Kucing dan anjing akan tetap setia menunggunya walaupun dalam keadaan basah kuyup,” ujar bapa dua anak ini yang juga pencinta kucing.

Azman berkata, dia difahamkan pemuda tersebut memperoleh gaji hanya RM35 sehari selain turut mengambil upah sebagai pekerja pembersihan.

“Dengan gaji yang sikit tu, dia mampu untuk membeli makanan buat kucing dan anjing. Dia beli ikan dan ayam mentah di pasar berdekatan dan difahamkan dia berhutang dulu dan bayar sikit-sikit. Bayangkan setiap hari dia pergi antara tujuh dan 10 lokasi macam buat pusingan sejauh lima kilometer hanya untuk beri makan kepada kucing dan anjing,” katanya. Keperibadian pemuda itu begitu dikagumi sehingga Azman amat bersimpati dengan lelaki bujang itu yang menunggang motosikal yang agak uzur.

“Kesian tengok motornya, tapi dia kata selagi boleh jalan dah kira ok. Katanya, dia sanggup lebihkan kucing termasuk anjing dari dia dan motornya sendiri. Alahai, sedih dengar. Sekarang ni ada lagi ke anak bujang macam tu? Bagi saya, dia seorang pemuda yang bukan biasa-biasa,” katanya.

Sumber: mStar

 

1