Digelar Perkampungan Kucing Kerana Beratus Ekor Kucing Menginap Di Kampung Ini

Digelar Perkampungan Kucing Kerana Beratus Ekor Kucing Menginap Di Kampung Ini

PADA awal 1900-an, Houtong adalah sebuah perkampungan di utara Taiwan yang terkenal dengan teknologi canggih dalam bidang perlombongan, menjadikannya pekan kaya didiami kira-kira 6,000 penduduk dan pekerja sebelum lombong ditinggalkan.

Keadaan itu memaksa kebanyakan penduduk berhijrah ke tempat lain menyebabkan perkampungan terbabit semakin sunyi dengan hanya kira-kira 100 penduduk. Houtong yang terletak dekat New Taipei City diibaratkan pekan berhantu selama bertahun-tahun, namun kawasan itu semakin lama semakin dipenuhi kucing jalanan.

CNN melaporkan, kini pekan kecil itu menjadi tarikan dengan kucing jalanannya hingga menarik ramai pengunjung, terutama pencinta kucing untuk bergambar dengan haiwan itu.

Keadaan itu menarik perhatian seorang pencinta kucing yang juga jurugambar dan kunjungannya ke pekan berkenaan memberi nafas baharu untuk menghidupkan semula Houtong apabila dia menulis blog pada 2010, mengenai keunikan populasi kucing yang berkembang di situ.

Haiwan jinak itu boleh dilihat di setiap ceruk Houtong, sekali gus mengubah landskap dan imej kawasan itu sebagai kampung kucing. Semua di kampung itu mempunyai kaitan dengan kucing termasuk bentuk jambatan, bekas makanan di bahu jalan, motif pada papan tanda jalan dan kafe bertemakan haiwan berkenaan.

Kehadiran kucing di situ begitu berjasa menaikkan nama Houtong di mata pelancong, sekali gus memberi peluang kepada penduduk kampung menjana pendapatan. Kucing jalanan yang kini hampir semuanya diberi nama, dijaga sepenuhnya penduduk kampung dan sekumpulan sukarelawan.

Terdapat banyak pembangunan dilakukan di situ termasuk sebuah jambatan kucing dengan rekaan unik hingga berjaya memenangi anugerah. Pada masa sama, sebuah pusat pendidikan dan maklumat mengenai haiwan terbabit turut dibina dilengkapi laluan kucing yang boleh dinaikkan di hadapan bangunan terbabit.

Selain itu, terdapat juga sebuah taman muzium yang dibuka pada 2010 untuk memperingati kewujudan Houtong sebagai pekan pelombongan dan sebuah festival tanglung kucing diadakan pada 2012. Ia kini tidak lagi sunyi, malah dianggap sebagai kawasan pelancongan menarik yang dikunjungi kira-kira sejuta orang setiap tahun.

Namun, kewujudan Houtong juga mengundang kesan lain apabila orang ramai melihatnya sebagai satu tempat yang sesuai untuk membuang haiwan peliharaan mereka. Dalam kajian terbaharu, Pejabat Pemeriksaan Kesihatan dan Perlindungan Haiwan New Taipei City menganggarkan terdapat kira-kira 286 kucing berkeliaran di kawasan itu apabila terdapat pertambahan 50 ekor sejak dua tahun lalu.

Ada yang menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan haiwan berkenaan apabila mereka sering dibelai jutaan pelancong yang datang. Bagi mengatasi masalah itu, jabatan kesihatan bekerjasama dengan penduduk dan sukarelawan untuk memberi vaksin serta perubatan kepada semua kucing di Houtong.

Beberapa papan tanda turut dinaikkan di sekitar kawasan untuk menasihatkan pengunjung dan pemilik haiwan supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan kucing.

Sumber: HARIAN METRO

1