Dua Ekor Kucing Berebut Hak Penjagaan Anak

Dua Ekor Kucing Berebut Hak Penjagaan Anak

Sekali pandang, anda pasti keliru dengan rupa haiwan ini. Adakah haiwan ini merupakan anak harimau bintang? Atau mungkin merupakan salah satu spesies unik daripada keluarga kucing?

Tetapi sebenarnya, haiwan yang dinamakan Queen ini merupakan seekor kucing spesies Savannah yang berasal dari baka campuran kucing dan juga Serval (kucing liar Afrika).

Selain daripada keunikan bentuk fizikalnya, terdapat satu lagi perkara menarik yang perlu anda ketahui mengenai Queen. Kucing betina ini memiliki sifat penyayang yang tinggi dan sangat menyukai anak-anak kucing!

Setiap hari, Queen akan mengusahakan pelbagai cara untuk memasuki sebuah bilik yang menempatkan beberapa ekor anak kucing yang baru dilahirkan. Sekiranya pintu itu berkunci, Queen sendiri akan memanjat dan berpaut pada tombol pintu untuk membukanya. Jika percubaannya gagal, Queen akan merayu pada tuannya untuk membukakan pintu tersebut.

“Saya tidak akan bukakan pintu itu,” kata tuannya sewaktu Queen mengiau meminta pertolongan.

Setelah mencuba beberapa kali, Queen akhirnya berjaya membuka pintu dan terus menuju ke kotak yang didiami oleh beberapa anak kucing yang comel!

Queen terus menghampiri dan membelai kesemua anak kucing itu dengan penuh kasih sayang. Gelagat Queen ketika menjaga anak kucing ini tidak ubah seperti gaya seorang ibu mithali! Sangat rajin membersihkan anak dan menyayangi kesemua anak-anak kucing itu…

Bagaimanapun, sebenarnya Queen bukanlah ibu kandung kepada anak-anak kucing tadi! Ibu kandung yang sebenar sedang memerhatikan apa yang Queen lakukan terhadap anak-anaknya dari luar otak!

Sebaik sahaja kucing bernama Velvet itu melihat ada seekor haiwan lain yang cuba untuk menggantikan tempatnya, Velvet terus masuk ke dalam kotak dan melakukan serangan cakar-mencakar antara satu sama lain.

Walaupun niat Queen sebenarnya baik, tetapi Velvet sangat tidak gemar apabila Queen cuba untuk menjilat anak-anaknya. Sebaliknya, Velvet akan memukul dan mencakar kucing bagi menunjukkan protes terhadap situasi itu. Velvet mahu Queen beredar dari keluarganya!

Meskipun tuannya cuba mengumpan Queen untuk keluar dari kotak tersebut dengan memberikan makanan kegemarannya, Queen tetap enggan berjauhan dengan anak-anak kucing itu…

Hal ini membuatkan suasana bertukar menjadi tegang antara Queen dan Velvet sehingga memaksa tuan mereka membawa Queen keluar dari kawasan itu supaya ibu kandung sebenar dapat menyusukan anak-anaknya dengan lebih tenang. Menurut doktor haiwan, tindakan memisahkan kucing dengan sesuatu yang disukainya akan menjejaskan kesihatan mental dan membuatkan kucing itu menjadi lebih tertekan.

Oleh demikian, doktor tersebut mencadangkan agar setiap kucing betina ini iaitu Velvet dan Queen diberikan hak yang sama rata dalam menjaga anak-anak kucing tersebut. Namun, ianya haruslah dilakukan secara berasingan bagi mengelakkan berlaku lagi insiden percakaran!

Jadi, apabila Velvet pergi meninggalkan anak-anaknya, inilah masa yang sesuai untuk membenarkan Queen mengambil alih peranan sebagai ibu dan membantu menjaga anak-anak kucing berkenaan.

Kaedah ini membolehkan Queen mempunyai masa yang berkualiti dan tenang bersama anak-anak kucing kesayangannya.

Apabila Velvet kembali, Queen haruslah memberi peluang kepada ibu kandung ini untuk menjaga anak-anaknya pula. Walaupun nafsu Queen untuk sentiasa berada di samping anak-anak kucing itu sangat kuat, Queen perlu belajar bersabar dalam menghadapinya.

“Kita tengok anak-anak kucing ini tidur sahaja,” kata tuan Queen sambil memegang kucing itu bagi mengelakkannya masuk ke dalam kotak.

Seolah-olah tahu, masanya untuk menjaga anak-anak kucing itu akan tiba tidak lama lagi, Queen nampaknya boleh belajar bersabar dan memberikan ruang kepada Velvet untuk menikmati waktu sendirian bersama anak-anak.

Inilah kisah mengenai dua ibu yang berkongsi kegembiraan, perasaan cemburu, marah dan keseronokan ketika bersama-sama menjaga anak-anak kucing.

Semoga kedua-dua Queen dan Velvet akan menempuh kehidupan ini dan membesarkan anak-anak kucing itu dengan baik!

Sumber: ERA BARU

 

1