Gaji RM 800 Tapi Digunakan Untuk Bela 80 Ekor Kucing

Gaji RM 800 Tapi Digunakan Untuk Bela 80 Ekor Kucing

Kata Abu Zarin, dia sudah menganggap kucing-kucing itu sebagai anaknya kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga 15 tahun lalu. Tambah lelaki itu, hatinya mudah tersentuh apabila melihat tiada siapa yang peduli dengan kucing jalanan.

“Saya memang jenis sayang kucing… kalau kucing mati, saya memang akan menangis. Saya tak suka binatang dianiayai, dilanggar dan ditendang. Saya memang pantang kalau tengok manusia yang tak berhati perut buat macam tu pada haiwan.

“Janganlah buat macam tu dengan binatang walaupun pada seekor anjing. Kalau tak suka pun, halau jelah, tapi jangan apa-apakannya,” ujarnya dalam nada sayu. Menurut Abu Zarin, sebelum ini dia tidak dapat berbuat demikian kerana tinggal di taman perumahan di Seri Manjung, Perak. Katanya, tidak ramai jiran tetangga yang selesa jika tinggal dekat dengan kediaman yang memelihara banyak kucing.

Namun, selepas berpindah ke kampung halamannya di Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, Abu Zarin dapat membina ruang khas untuk meletakkan sangkar kucingnya. Selain menggunakan wang pendapatannya untuk membeli makanan kucing dan membaiki sangkar yang usang, Abu Zarin turut menjual tin dan botol terpakai kepada tauke kitar semula bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Dekat tempat kerja saya ni ada banyak bahan buangan seperti kotak, botol dan tin. Sambil-sambil tu saya ambil dan jual untuk tampung kos beli makanan kucing. Tapi, bukan banyak pun yang dapat. Gaji saya dalam RM1,100, itu pun belum potong Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lepas tolak itu ini, dapatlah dalam RM800 lebih sebulan,” ujarnya.

Dengan pendapatan sebanyak itu, Abu Zarin hanya mampu memberikan tiga skup kecil makanan sehari kepada setiap kucingnya. Dalam pada itu, pasangan tersebut mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menyumbangkan makanan kucing dan wang tambahan untuk menampung kos membela haiwan tersebut.

Sumber: mStar

2