Harimau Ini Kenal Peluh Tuannya Sendiri

Harimau Ini Kenal Peluh Tuannya Sendiri

Gelaran penjaga antara haiwan dan reptilia paling bahaya di dunia tidak mudah ‘dipegang’ sebaliknya penuh dengan ranjau serta liku. Walaupun setiap hari terpaksa berdepan dengan risiko keselamatan, penjaga haiwan di Zoo Negara di sini, tidak pernah mengalah sebaliknya kini melayan haiwan dan reptilia bahaya ini umpama rakan akrab.

Bukan setakat memberi makan, malah peranan penjaga turut ada kaitan dengan ‘perasaan’ membabitkan mereka dengan haiwan dan reptilia ini. Kerana itu, penjaga amat faham apa yang menimpa haiwan dan reptilia di bawah jagaan masing.

Hanya mereka yang memiliki keberanian luar biasa sanggup menjaga dan mendampingi harimau, gajah serta buaya selain memilih menjadi penjaga haiwan berkenaan sebagai pilihan kerjaya. Bagi mereka, tentunya haiwan ini mempunyai ‘keistimewaan’ sehingga boleh serasi bersama. Umar Ashraf Anuar, 31, penjaga harimau.

“Ada yang mengatakan saya mengamalkan ilmu pendinding untuk memastikan keselamatan diri apabila berdepan harimau putih yang juga harimau kedua terbesar di dunia. Sebenarnya, setiap kali berdepan dengan harimau berasal dari India yang diberi nama Giri, saya hanya melafazkan Bismillah seterusnya bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Umar berkata, ada juga yang bertanya sama ada saya ada menggosok gigi harimau, ia sebenarnya tidak pernah berlaku kerana ia akan menjilat garam disediakan di ruang pameran untuk membersihkan gigi serta mulutnya. Selain itu, katanya, dia juga memandikan Giri dengan menyembur air padanya menggunakan hos getah.

“Syukur kerana sepanjang lima tahun menjaga Giri, saya tidak pernah diserang atau dicederakannya. Mudah untuk menjaga Giri kerana dia mengenali saya melalui bau peluh badan saya. Kerana itu, setiap kali datang bekerja atau masuk ke kandang Giri, saya tidak pernah memakai minyak wangi kerana ia mungkin mendatangkan ancaman kepada saya,” katanya.

Malah, Umar mengakui, memang Giri cukup garang malah bukaan mulutnya saja yang seluas kira-kira 50 sentimeter pasti menakutkan orang namun ia akan bergaya manja seperti menggosok badan di kandang jika lapar.

“Giri yang seberat hampir 300 kilogram mampu menghabiskan sembilan hingga 15 kilogram daging ayam dan daging sehari bergantung kepada dietnya yang ditetapkan pengurusan Zoo Negara. Bagi memastikan kecantikan bulunya, Giri diberi makan dua biji telur mentah setiap hari. Ia juga bagi menguatkan ketahanan bulu itu daripada gugur,” katanya.

Mengenali Giri, harimau ini juga umpama manusia. Contoh, apabila sakit perut, Giri akan mengasingkan diri di penjuru kawasan pameran dan memakan rumput. Rumput itu dimakan bagi membaiki proses penghadamannya dan ketika itu, Giri akan mengulang melakukan perkara sama sehingga sakit perutnya reda.

Harimau jarang sakit, ia hanya sakit sekali bagi setiap tiga hingga empat tahun. Satu lagi kelebihannya, harimau tidak akan makan daging tercemar dengan bakteria dan ia tahu sekiranya makanan diberi itu tercemar atau sebaliknya dengan hanya menghidu.

Menurutnya, bagi spesies Giri, ia boleh berlari sepantas 60 hingga 70 kilometer sejam. Selain itu, jika kakinya tempang, saya tahu ia pasti sakit akibat kukunya panjang dan mencengkam tapak kaki. Lazimnya, Giri akan mencakar pokok untuk menanggalkan kuku itu dan jika gagal, kami akan gunakan khidmat veterinar bagi memotong kuku.

“Jiwa saya terlalu dekat dengan haiwan kerana sebelum bertugas di Zoo Negara ada memelihara haiwan eksotik iaitu dua ekor ular dan tiga ekor burung hantu di rumah. Ini yang mendorong saya untuk memilih kerja di sini dan tugas menjaga Giri memang menakutkan namun ia hanya pada permulaan saya mengenalinya.

“Selepas kira-kira sebulan, baru saya dan Giri dapat menyesuaikan diri masing-masing. Saya pernah ‘dimarahi’ Giri di mana ruang tempat saya memberinya makan dirempuhnya beberapa kali. Ia berlaku kerana mungkin ada perkara yang tidak disukainya.

“Kini, hubungan saya dan Giri cukup akrab dan Giri akan masuk ke kandangnya dengan sekali panggilan saja, tidak seperti pada permulaan perkenalan kami,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1