Hebatnya Kucing Ini Bermain Piano

Hebatnya Kucing Ini Bermain Piano

Nora, seekor kucing yang gemar bermain piano, telah menjadi bintang sensasi di laman Youtube beberapa tahun lalu apabila pemiliknya memuat naik klip video persembahannya di laman tersebut.

Niat pasangan artis Burnell Yow dan Betsy Alexander memuat naik klip tersebut hanyalah untuk berkongsi video itu dengan murid-murid Betsy dan anak saudara mereka. Mereka langsung tidak menyangka rakaman tersebut akan menjadi sangat popular.

Sejak ia mula dimuat naik pada tahun 2007, video rakaman persembahan Nora telah ditonton lebih 14 juta pengguna internet.

Bakat kucing tersebut juga mendapat perhatian akhbar the Times di London yang menyifatkan muzik yang dihasilkan Nora adalah seperti gabungan antara muzik Philip Glass dan rentak jazz bebas.

Seorang konduktor orkestra dari Lithuania bernama Mindraugas Piecaitis juga dilihat tertarik dengan bakat Nora dan telah menggubah sebuah lagu iringan buat alunan muzik yang dimainkan Nora.

Hasilnya, lagu gubahan bertajuk “Catcerto” telah dipersembahkan di Dewan Konsert Klaipeda pada 5 Jun tahun lalu.

Pasangan Burnell dan Betsy menjelaskan bahawa permainan piano Nora bukanlah sesuatu yang diajar oleh mereka. Menurut pasangan itu, sewaktu berusia satu tahun Nora sudah mula memanjat dan memainkan salah satu piano milik Betsy.

Nora juga lebih menggemari piano berjenama Yamaha berbanding piano-piano yang lain dan lebih gemar juga memilih nota-nota bernada tinggi daripada yang bernada rendah. Tambahan lagi, daripada enam ekor kucing yang dimiliki Burnell dan Betsy, hanya Nora sahaja yang mempunyai minat sedemikian.

Menurut Burnell dan Betsy lagi, nama Nora diambil daripada nama seorang pelukis surrealist bernama Leonora Carrington. Kucing tersebut diambil daripada sebuah rumah perlindungan New Jersey sewaktu ianya masih kecil.

Video di bawah ini adalah rakaman asal yang dikongsikan Burnell dan Betsy yang mana telah melonjakkan nama Nora di mata dunia. Semoga anda terhibur!

Sumber: ERA BARU

1