Inilah Badak Sumbu Malaysia Terakhir Yang Telah Pupus

Inilah Badak Sumbu Malaysia Terakhir Yang Telah Pupus

KOTA KINABALU: Spesies terakhir badak sumbu Sumatra jantan di negara ini, Kertam, atau dikenali sebagai Tam, dilaporkan mati di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, semalam. Kematian badak sumbu Sumatera jantan itu disahkan oleh Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA), Datuk Dr Junaidi Payne.

“Dengan rasa dukacitanya, Tam mati tengah hari tadi… kita sudah melakukan apa yang perlu. Pada minggu terakhirnya (Tam), ia membabitkan penjagaan paliatif yang sebaiknya oleh pasukan Borneo Rhino Alliance (BORA) di bawah kendalian Dr Zainal Zahari Zainuddin, di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin.

“Punca kematian akan dimaklumkan kemudian selepas autopsi dilakukan,” katanya yang dipetik Berita Harian dalam kenyataannya semalam. Beliau berkata, kematian Tam juga berkaitan dengan faktor usia selain buah pinggang dan hati tidak berfungsi dengan baik.

Minggu lalu, Tam yang dianggarkan berusia lebih 35 tahun hilang selera makan dan kurang bertindak balas sejak April lalu.

Ketika ditangkap 11 tahun lalu, Tam dianggarkan berusia pertengahan 20-an, dan bermakna sudah memasuki umur tua bagi seekor badak sumbu Sumatra.

Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan bagi menyelamatkan badak sumbu Sumatra daripada kepupusan dengan tumpuan kepada teknologi pembiakan terkini, termasuk secara in vitro dan kerjasama dengan Indonesia sejak tahun 2011.

Namun usaha untuk mencari pasangan kepada Tam juga lenyap apabila Puntung yang ditangkap pada tahun yang sama didapati menghidap ketumbuhan dalam rahim, manakala Iman yang ditangkap pada tahun 2014 pula didapati berdepan masalah sama.

Puntung kemudian terpaksa dimatikan pada tahun 2017 akibat kanser sekali gus hanya meninggalkan Iman yang menjadi satu-satunya badak sumbu betina yang masih hidup.

Sumber: ERA BARU

 

1