Jadilah Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab Terhadap Haiwan Peliharaan

Jadilah Pemilik Haiwan Yang Bertanggungjawab Terhadap Haiwan Peliharaan

Jadilah pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab. Usah terhantuk baharu terngadah.

Itu pesanan Pegawai Veterinar Sarawak, Dr Jackie Peter yang mengetuai program pemvaksinan antirabies di Kuching hari ini.

Beliau mengingatkan pemilik anjing agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara haiwan kesayangan dan memastikan haiwan itu diberikann suntikan antirabies, berikutan penularan wabak itu di Sarawak.

“Untuk membela atau memelihara anjing memerlukan komitmen jangka panjang dan bertanggungjawab. Sebagai contoh memberikan vaksin.

“Vaksin ada banyak, oleh itu kita perlu mendapatkan vaksin teras dulu diikuti dengan vaksin rabies,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Menurutnya, setakat ini bekalan vaksin antirabies di Sarawak mencukupi dan melalui program vaksinasi besar-besaran di Kuching hari ini, sebanyak 1,500 vaksin disediakan.

Setakat ini, katanya sebanyak 74,298 program pemvaksinan percuma telah dijalankan ke atas haiwan seperti anjing, kucing, kera dan kelawar di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 184 sampel didapati positif dijangkiti wabak tersebut.

“Malah tahap kesedaran masyarakat mengenai bahaya wabak tersebut telah meningkat dengan kehadiran dan sambutan menggalakkan semasa kempen pemvaksinan,” katanya.

Di Sarawak, Rabies Encephalitis telah mengorbankan 13 nyawa manusia, sejak Jun tahun lalu.

Sumber: ASTRO AWANI

1