Kajian Mendapati Kucing Mampu Ubati Tekanan Hidup

Kajian Mendapati Kucing Mampu Ubati Tekanan Hidup

“Saya jaga awak sempurna tak? Kalau ada yang kurang saya minta maaf. Awak suka tak tinggal di sini?” luah Yajit Mohd Jamil, 45, seakan-akan berbual dengan manusia lagaknya sambil membelai mesra kucing yang diberi nama Comel.

Memahami bahasa tuannya Comel terus menggesel-gesel badannya ke muka Yajit, menjilat tangan lantas duduk di riba. Bagi Yajit berbual-bual dengan kucing menjadi kebiasaannya sejak 10 tahun lalu, malah kecintaan terhadap haiwan itu sama seperti menjaga anak sendiri.

Yajit masih ingat Comel dulunya hanya kucing jalanan yang penuh kurap di badan. Kucing buangan tidak bertuan itu diambil, dimandikan dan diberikan rawatan sehingga kurapnya hilang dan bulunya tumbuh menebal.

Makanan diberi hanya yang berkhasiat selain nasi dan ikan. Malah bukan Comel saja mendapat layanan seistimewa itu, tetapi Yajit turut mengambil kucing jalanan yang tidak sempurna dan berpenyakit sehingga pernah satu masa 25 ekor semuanya.

Kucing ini diberikan nama mengikut sifat mereka misalnya Tam berbulu hitam, Sepet memiliki mata sepet, Zoro mempunyai bulu hitam berkilat dan putih di muka, Cemah kucing kampung yang kotor dulunya dan Mia yang sangat comel dan bersih.

Menjadi sebahagian keluarga Yajit setiap kucing mempunyai sifat yang tersendiri. Pacai misalnya hanya mahu makan di tempat tinggi, tetapi sangat manja dan bijak.

“Apabila saya demam Pacai akan tidur di sebelah saya setiap hari. Seakan-akan turut bersimpati dengan keadaan saya. Comel pula agak cerewet, isi ikan dan tulang perlu diasingkan, baru dia mahu makan nasi yang disediakan untuknya,” katanya rancak bercerita mengenai sifat kucing peliharaannya.

Kucing reda kemurungan

Ditanya mengapa mengambil kucing buangan sebagai peliharaan dan bukannya kucing comel berharga mahal, jelas Yajit dulu dia memiliki seekor kucing diberi nama Kakak. Kakak juga hanya kucing terbiar dan comot yang mengikutnya pulang ke rumah.

Suatu hari Yajit mengalami kemurungan yang teruk akibat masalah peribadi. Tekanan jiwa yang dialaminya ini sehingga memaksa dia menjadi pendiam dan menyendiri di bilik.

“Pernah satu ketika saya berasa ingin bunuh diri. Lebih senang mati tanpa ada masalah membelenggu. Dalam deraian air mata tiba-tiba Kakak muncul di hadapan saya. Dia memerhatikan wajah saya lalu menjilat-jilat air mata berjuraian di pipi. Saya terus tersentak dan berasakan bagaikan ada sesuatu yang menjentik hati saya untuk mengingati Tuhan. Masih ada yang menyayangi saya rupanya. Sejak itu saya tekad teruskan hidup dengan memelihara kucing,” katanya memulakan cerita.

Bermula dari hari itu menjadi hobi terbaru Yajit membawa pulang kucing terbiar ke rumah. Malah pantang melihat kucing tidak bertuan, sakit, comot dan kotor hatinya mudah tersentuh. Dia pernah membawa pulang kucing tempang, lumpuh separuh badan, berkurap, buta, anak kucing tiada ibu, nyanyuk dan berpenyakit kanser. Kebanyakan kucing ini dijumpai di pasar, tepi jalan, laluan ke tempat kerja dan di kawasan sekitar rumah.

“Perkara pertama saya lakukan adalah membawa kucing ke klinik untuk rawatan penyakitnya. Saya akan memastikan penyakit kucing ini sembuh sepenuh­nya. Pernah kerana masalah selesema dan demam, kucing saya ditahan di wad selama sebulan dengan kos RM4,500!

“Pernah juga kucing menghidap kanser dan memerlukan pembedahan. Apa yang penting setiap penyakit dapat diubati dan kucing ini kembali sihat,” katanya.

Walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk makanan dan rawatan kesihatan yang hampir mencecah lebih RM1,000 sebulan namun Yajit tidak pernah menyesal atau terkilan sebaliknya bersyukur kerana dapat berkongsi kegembiraan dengan haiwan peliharaan.

“Saya memberikan makanan paling mahal kerana ingin memberikan yang terbaik. Pada saya kucing sama saja seperti manusia. Boleh sakit dan sihat, gembira dan sedih dan akan nya­nyuk apabila sampai waktunya. Malah sejak memelihara kucing buangan saya semakin mengenali setiap perangai kucing ini kerana setiap satu mempunyai sifat berbeza. Namun jika diberikan kasih sayang sepenuhnya, kucing akan memberikan layanan yang sama kepada kita,” luahnya.

Banyak kucing yang hilang

Walaupun kucing peliharaan adalah kucing biasa namun pada waktu malam dia tetap meletakkan di dalam sangkar. Ini bagi memastikan kucingnya tidak hilang atau dilanggar. Jika dulu dia mempunyai 25 ekor kini hanya 10 ekor yang masih ada dalam peliharaan selebihnya sudah mati, diambil orang dan hilang begitu saja.

“Jika hilang memang saya terkilan kerana sudah menjaganya sebaik mungkin seperti anak sendiri. Tetapi apa boleh buat mungkin tiada rezeki untuk memelihara dengan lebih lama,” katanya sayu.

Bagi Yajit, beritahulah apa saja dia sanggup melakukannya segala-galanya asalkan kucingnya berada dalam keadaan sihat dan ceria. Pernah kucing peliharaannya lumpuh dan hanya mampu menggerakkan kepala. Setiap satu jam ubat perlu diberi.

“Memang saya menangis setiap hari. Sedih usah cerita jika boleh ditukar kesakitan itu dengan diri saya memang saya sanggup. Hati saya mudah tersentuh melihat kesakitan dan penderitaan kucing. Mungkin ini yang Allah kurniakan kepada saya agar menjadi lebih penyayang dan sabar melayan kerenah kucing ini,” katanya yang bertugas sebagai penyelia di sebuah spa di Damansara.

Baginya biarpun dia berhabis duit untuk kucing, tidak pernah bercuti selama 10 tahun lalu atau mengikuti percutian anjuran syarikat namun semua itu tidak menjadi masalah. Sejak memelihara kucing tiada lagi istilah bersosial atau keluar malam dengan rakan. Segalanya dilakukan hanya untuk kucingnya saja.

“Jika bercuti sekalipun pasti saya akan memikirkan mengenai makanan kucing, siapa yang akan memasukkan ke dalam sangkar. Sakit demamnya macam mana. Semua perkara ini akan menyebabkan saya sedih dan tertekan. Jadi adalah lebih baik seandainya saya mengorbankan masa untuk kucing,” katanya.

Ingin berkongsi kasih sayang

Ditanya mengenai masa depan sendiri, dengan pantas dia memberitahu selesa dengan keadaan sekarang dan reda dengan apa yang Allah berikan.

“Kucing memberikan kegembiraan kepada saya dan kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Berbeza dengan manusia setiap kasih sayang yang diberikan pasti mengharapkan balasan,” katanya.

Malah jika ada yang berkata rezekinya murah kerana memelihara kucing, dia tidak pernah memikirkannya kerana beranggapan rezeki hanya Allah yang tahu.

“Sekiranya saya mengharapkan balasan setiap apa yang saya lakukan, ia tidak ikhlas. Urusan kita de­ngan Allah bukanlah seperti perniagaan, yang mengharapkan keuntungan. Saya ikhlas kerana Allah. Rezeki atau sebaliknya adalah urusan Allah. Dia pemilik rezeki dan Maha Mengetahui.

“Cuma apa yang saya perasan Allah memberikan kesihatan yang baik kepada saya sepanjang memelihara kucing. Rezeki kesihatan tidak ternilai harganya. Bayangkan jika duit banyak sekalipun tidak berguna jika sakit,” jelasnya.

Tambahnya lagi dia sedar dunia ini ciptaan Tuhan. Tidak boleh sombong oleh itu kena berkongsi kasih sayang sesama makhluk Allah.

Sumber: HARIAN METRO

2