Kalau Tak Suka Kucing, Jangan Sampai RA CUN Mereka

Kalau Tak Suka Kucing, Jangan Sampai RA CUN Mereka

JIKA tak suka kucing, tak perlu sampai nak ra cun,” kata lelaki yang hanya dikenali sebagai Shaiful, 31. Terdahulu, dia memuat naik status dan gambar perangkap tikus dengan umpan ikan yang ditaburi serbuk dipercayai ra cun di sebuah pangsapuri di Cheras.

Status yang dimuat naik di laman Twitternya itu kemudian mendapat lebih 4,141 ulang ciap, 2,436 tanda suka dan pelbagai reaksi daripada warganet. Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas pulang dari tempat kerja pada 10.30 malam tadi.

“Sebelum naik ke rumah, saya singgah untuk menjenguk kucing terbiar yang sering berlegar di tepi tangga di sebelah kotak parkir saya. Masa saya nak beri makan kepada kucing di situ, saya pelik apabila anak kucing yang selalu tunggu saya tiada di situ. Bagaimanapun, saya sangat terkejut apabila terjumpa perangkap tikus serta terdapat umpan ikan yang ditaburkan serbuk putih seperti ra cun di dalam plastik,” katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, dia kemudiannya cuba mencari kucing terbiar itu untuk diselamatkan di sekitar tempat tinggalnya.

“Hampir 20 minit saya cari, namun, satu pun tiada. Pengawal keselamatan yang melihat saya berlegar di bawah pangsapuri itu kemudiannya memaklumkan ada individu sengaja meletakkan perangkap itu bagi membu nuh kucing. Kira-kira enam kucing terbiar ada di pangsapuri ini. Setahu saya kucing di sini tidak mengganggu dan isu bau pun tidak timbul. Namun, saya tidak tahu mengapa ada individu sanggup berbuat demikian sehingga nak ra cun kucing di situ,” katanya.

Shaiful berkata, dia berjaya menyelamatkan salah seekor anak kucing apabila mencari haiwan itu di sekitar pangsapuri itu hari ini.

“Kucing itu seperti dalam ketakutan malah apabila saya cuba tangkap dan masukkan dalam ‘pet carrier’ dia bertindak agresif dan mencakar tangan saya. Alhamdulillah, apabila saya memuat naik perkara ini di laman Twitter, ramai warganet berhasrat untuk membela kucing itu. Esok saya akan mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada individu yang dipercayai meletakkan racun itu. Jika perlu saya akan laporkan perkara itu kepada pihak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1