“Kenapa buang? Membazir!” – Aktivis Kongsi Pengalaman Bantu Keluarga Miskin Yang Boros

“Kenapa buang? Membazir!” – Aktivis Kongsi Pengalaman Bantu Keluarga Miskin Yang Boros

Syed Azmi, individu yang terkenal kerana merupakan aktivis sosial yang tidak lokek membantu orang yang memerlukan. Walau bagaimanapun, terdapat dugaan yang menimpanya dalam menghulurkan bantuan tersebut sehingga keikhlasannya telah dipersoalkan.

Baru-baru ini, menerusi laman Facebook, Syed Azmi telah berkongsi pengalaman membantu seorang anak perempuan dan ibunya yang menjadi satu peringatan dan pengajaran buatnya dan pembaca.

Menurut Syed, dia mengambil keputusan untuk menjemput dua beranak tersebut menaiki keretanya untuk membeli barangan keperluan. Namun, mereka lambat selama 45 minit walaupun telah membuat perjanjian pada awal hari tersebut.

Sumber: mStar

Apabila ditanya pasar raya berdekatan untuk membeli barangan dapur seperti beras, minyak dan telur serta sedikit pakaian, anak berusia 21 tahun itu telah mencadangkan pasar raya mahal dan bukannya yang biasa.

Tiba di pasar raya, mereka pergi membeli pakaian dahulu di mana Syed memberi cadangan untuk hanya membeli empat helai baju seorang dan anak perempuan itu langsung tidak membantu ibunya mencari baju.

Selepas itu, Syed membawa mereka membeli barangan dapur pula, namun ketika itu dia mendapati bahawa anak beranak tersebut tidak bijak berbelanja dan langsung tidak membandingkan harga mahupun memeriksa harga terlebih dahulu. Disebabkan itu, dia membantu keluarga berkenaan agar mereka lebih bijak berbelanja di masa akan datang.

Gambar hiasan

Apabila tiba masa untuk membuat pembayaran, dia mendapati pakaian mereka sahaja sudah mencecah jumlah RM500. Rupa-rupanya, mereka tidak memilih baju di ruangan jualan murah kerana anak perempuan itu tidak berminat dengan pilihan pakaian di bahagian itu.

“Saya tanya berbaloi ke baju-baju ni dengan harga lebih RM500? Jawabnya, entah. Kalau awak, awak belanja ke sampai RM500? Dia jawab, entah.”

Oleh itu, Syed Azmi menegur cara mereka berbelanja yang tidak bijak, membuatkan anak perempuan itu menarik muka dan ibunya menolak pembelian baju dalam yang sudah dipilih.

“Macam mana awak pilih barang ni. Sikap macam ni yang tak bijak berbelanja, macam mana nak maximise kan duit ringgit yang ada kalau tak pandai buat pilihan?”

Gambar hiasan

Sesudah membeli barangan, Syed telah membelikan sedikit kuih dan donut untuk mereka makan. Sementara menanti kereta, anak perempuan itu menggigit donut kemudian membuangnya apabila kereta mereka tiba. Dia yang menyaksikan insiden itu terkejut dan bertanya tindakan wanita itu.

“Apasal buang? Membazir! Jawabnya, taknak kotor kereta, lagipun tak sedap.”

Syed Azmi menjelaskan bahawa tujuan dia menegur bukannya kerana tidak ikhlas tetapi sekadar mendidik cara menguruskan kewangan supaya membuat pilihan yang terbaik dan berbaloi dengan jumlah wang yang terhad. 

Sumber: Facebook

Bukan itu sahaja, Syed turut menegur sikap anak perempuan itu yang sering menjawab secara acuh tak acuh dan cara percakapan dengan ibunya yang kasar. Walau bagaimanapun, ibu itu memenangkan anaknya yang membuatkan Syed Azmi berputus asa dan menganggap perkara itu berlaku kerana cara didikan yang salah.

Syed kemudian berkata bahawa situasi dan pengalaman yang dilalui beberapa tahun lalu itu membuatkannya menjadi lebih bijak dalam membantu mereka yang memerlukan.

Kita perlulah pandai berbelanja dengan membeli barangan dengan harga yang berbaloi.

1