Kerana Jasanya Kucing Dilantik Menjadi Tuan Besar Istana Di Jepun

Kerana Jasanya Kucing Dilantik Menjadi Tuan Besar Istana Di Jepun

Ramai yang berpendapat kucing selalu memikirkan diri sendiri, tetapi agak berlainan bagi seekor kucing bernama Sanjuro kerana dirinya sangat istimewa sehingga membawa tarikan pelancong seperti magnet ke sebuah istana lama yang didiaminya selepas berlaku tragedi banjir besar.

Seekor kucing istimewa bernama Sanjuro menjadi tarikan ratusan pengunjung dan pelawat sebuah istana lama di sebuah wilayah di Jepun selepas berlaku satu bencana banjir besar pada bulan Julai tahun lalu. Kini, Sanjuro telah dilantik sebagai tuan besar di istana lama itu.

Sanjuro secara bersendirian telah menarik perhatian para pelancong dari serata Jepun dan seluruh dunia untuk mengunjungi Istana Bichu Matsuyama yang terletak di kampung halamannya di Wilayah Okayama.

Kucing comel yang berusia tiga tahun ini dinamakan sempena nama samurai tempatan terkenal di Takahashi, Okayama. Sanjuro asalnya mempunyai pemilik. Tetapi pada 18 Julai tahun lalu, wilayah Okayama telah mengalami bencana banjir besar menyebabkan Sanjuro hilang dan tidak ditemui.

Sanjuro telah ditemui selamat berada di dalam Istana Bitchu Matsuyama yang kemudian menjadi rumah utamanya yang amat selesa di situ. Apa yang menarik, selepas Sanjuro menjadi penghuni di istana lama itu, semakin ramai pelawat dan pelancong mengunjunginya disebabkan tarikan istimewa Sanjuro yang amat comel dan ramah. Lawatan pengunjung istana yang ramai telah membolehkan wilayah itu pulih dengan segera dalam sektor pelancongan selepas ditimpa tragedi.

Kecomelan Sanjuro yang menyambut para pengunjung dengan mesra menyebabkan dia dikenali dan ramai yang mahu membelai serta memeluknya. Sanjuro kini seperti samurai dahulu kala menjadi penjaga setia Istana Bitchu Matsuyama.

Sumbangan besar Sanjuro kepada sektor pelancongan tidak disedari sehingga pada bulan Disember tahun lalu apabila Sanjuro telah diiktiraf dalam satu upacara untuk menerima ketuanan ke atas Istana Bitchu Matsuyama.

Kini, Sanjuro menerima gelaran tuan besar istana yang terus menjalankan tugasnya dengan baik menyambut mesra dan melayani para pelawat serta pelancong yang mengunjungi istana tersebut.

Istana Bitchu Matsuyama telah dibina pada tahun 1240 dan dikenali sebagai antara istana tertinggi dan tertua yang masih wujud dan terselamat oleh peredaran zaman di Jepun. Ia menjadi warisan sejarah dan budaya Jepun yang dipelihara sebagai satu tarikan para pelancong ke Jepun. Istana ini juga merupakan satu-satunya istana lama di Jepun yang mempunyai tuan besar yang merupakan seekor kucing.

Pemilik asal Sanjuro yang bernama Megumi Namba sebenarnya mahu mengambil Sanjuro kembali selepas menemuinya, tetapi akhirnya berubah fikiran selepas mendapat tahu pihak persatuan pelancongan wilayah Okayama mahu memeliharanya di istana itu. Megumi kemudian bersetuju kerana merasakan Sanjuro menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa seperti seorang raja di dalam istana itu.

Berikutan gelaran baru sebagai tuan besar istana Jepun, tugas utama Sanjuro ialah sebagai maskot yang mempromosikan Istana Bitchu Matsuyama. Pengarah Eksekutif bagi persatuan pelancongan tempatan, Hideo Aihara berkata kucing itu seperti seorang wira sejati.

Katanya, “Sanjuro seperti penyelamat kami yang membawa tarikan ramai pelawat dan pelancong datang ke istana dan wilayah ini. Kami akan menjaganya dengan baik sebagai wakil baru dan tuan kepada istana ini.”

Sumber: ERA BARU

 

1