Ketika Tsunami Saya Sebut Nama Allah Berkali Kali, Walaupun Saya Lemas Tapi Saya Masih Hidup

Ketika Tsunami Saya Sebut Nama Allah Berkali Kali, Walaupun Saya Lemas Tapi Saya Masih Hidup

Seorang bilal di Masjid Terapung Palu menceritakan bagaimana dia terselamat daripada bencana tsunami yang melanda kota ini pada 28 September lalu.

Bilal yang dikenali sebagai Mohd Rahman itu berkata, waktu kejadian itu berlaku dia baharu sahaja mahu laungkan azan Maghrib di masjid berkenaan.

Katanya, belum sempat beliau mahu laungkan azan secara tiba-tiba berlaku satu goncangan yang sangat dahsyat yang mana kesannya ia telah menggegarkan masjid berkenaan.

“Jadi pada saat itu sudah masuk jam 6 petang (waktu maghrib masa tempatan) saya ingin laungkan azan tiba-tiba berlakunya goncangan yang sangat kuat.

“Dan air laut mula naik ke dalam masjid, ” katanya ketika diwawancara oleh media tempatan di sini.

Tenang berhadapan situasi itu, katanya dia bermonolog kepada Allah bahawa sekiranya nyawanya mahu diambil ketika itu biarlah jasadnya tidak dibawa jauh dari masjid berkenaan.

“Waktu itu jemaah semua sudah lari, tinggal saya seorang dalam masjid, saya berdoa kepada Allah, baca ayat kursi dan saya akhiri dengan kalimat syahadah.

“Saya dihempas ombak, air mula masuk ke dalam masjid, saya terkena serpihan kaca, tapi saya tidak pengsan.

“Sepanjang dibawa air ‘ke sana ke sini’ itu saya amalkan kalimah syahadah tanpa henti…dan hempasan air laut itu membawa saya terkeluar daripada masjid… pakaian saya sudah tertanggal,” katanya.

Berkongsi lanjut, katanya tidak semena-mena ada pakaian yang hanyut dibawa air ‘hadir’ kepadanya.

“Saya ambil pakaian itu saya balutkan dibadan, bila air kembali tenang saya berjaya larikan diri ke daratan,” katanya.

Dia akhirnya terselamat dalam tsunami berkenaan dan berkongsi kisah bagaimana dia boleh terselamat meskipun kawasan berkenaan hancur dibadai tsunami.

Sinar Harian kini bersama NGO Serantau Muslim menggerakkan misi bantuan kemanusiaan ke kota Palu, Sulawesi Indonesia.

Misi bantuan yang berangkat pada Jumaat lalu akan berada di Palu sehingga 20 Oktober untuk menghulurkan bantuan.

Kota Palu yang digegarkan dengan gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar iu, pada 28 September lalu telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Difahamkan di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas kejadian berkenaan.

Sumber: ASTRO AWANI

3