Kucing Australia Sangat Pandai Berburu

Kucing Australia Sangat Pandai Berburu

Kucing liar dilaporkan membunuh lebih sejuta reptilia setiap hari di Australia, menurut satu kajian yang turut menyebut ia menjadi ancaman besar kepada banyak lagi spesies lain.

Kucing dipercayai membunuh beberapa spesies di seluruh Australia sejak ia diperkenalkan peneroka Eropah dua dekad lalu yang mana usaha untuk memandulkan atau membunuhnya menemui kegagalan kerana pembiakan yang cepat.

Penemuan terbaru itu berdasarkan kepada lebih 10,000 sampel makanan kucing yang disumbangkan oleh saintis persekitaran di seluruh negara.

Kajian turut mendapati, secara keseluruhannya, kira-kira 650 juta cicak dan ular menjadi mangsa kucing liar dan kucing peliharaan setiap tahun.

“Secara puratanya, setiap kucing liar membunuh 223 reptilia setiap tahun,” kata penyelidik utama John Woinarski dari Universiti Charles Darwin, sambil menambah haiwan itu memakan lebih banyak reptilia di Australia berbanding di Amerika Syarikat (AS) atau Eropah.

“Beberapa kucing memakan sebilangan reptilia dengan kadar yang mengejutkan. Kami mendapati banyak contoh kucing tunggal memakan cicak dengan rekod sebanyak 40 ekor cicak ditemui dalam perut kucing.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Hidupan Liar menunjukkan kucing membunuh 250 spesies cicak yang berbeza-beza termasuk cicak gurun jenis ‘skinks’, bearded dragon dan geckos. Daripada jumlah ini, 11 adalah spesies terancam.

Sumber: HARIAN METRO

2