Kucing Berharga RM 16,000

Kucing Berharga RM 16,000

Kalau sudah minat, ribuan ringgit sanggup dilaburkan asalkan dapat memiliki ‘si bulus’ yang diingini. Mungkin itu yang dapat menggambarkan kesanggupan Emmy Liza Shaharudin, 43, membelanjakan RM16,000 untuk membeli kucing betina baka Parsi, tahun lalu.

Kucing yang diberi nama Isabella itu dibeli dari seorang pembiak kucing terkenal di Indonesia dan kini menjadi kesayangannya sekeluarga.

“Saya memang minat terhadap kucing sejak dahulu lagi, sebab itu saya tidak kisah untuk mengeluarkan belanja yang agak tinggi. Walaupun saya sudah mempunyai kucing baka yang sama, namun Isabella agak istimewa kerana saya seakan jatuh cinta saat kali pertama melihatnya dan terus nekad untuk memilikinya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai pertandingan Fun Cat Show di Tunas Manja Group Mall Tanjung Lumpur di Kuantan, kelmarin. Pertandingan yang dianjurkan oleh kedai peralatan kucing Sookies Store itu mendapat kerjasama daripada Darul Makmur Cat Club dan disertai 100 kucing seluruh negara.

Emmy Liza berkata, dia mempunyai kira-kira 40 kucing yang kesemuanya adalah baka import termasuk 10 kucing baka Bengal yang diimport dari Indonesia, Thailand dan Portugal. Katanya, dia memperuntukkan kira-kira dua jam untuk menguruskan Isabella termasuk mandi tiga kali seminggu, menyikat bulu dan menyuci kotoran.

“Penjagaan rapi perlu diberikan pada Isabella bagi memastikan bulunya yang panjang sentiasa kemas, menarik dan tidak kusut serta tidak mudah gugur, saya menggunakan syampu khas yang berharga RM1,000 sebotol ketika memandikannya. Isabella diberi makan daging dan ayam rebus setiap hari selain makanan khas, saya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk makanannya sahaja malah, Isabella juga ditempatkan dalam bilik khas yang dilengkapi dengan penghawa dingin,” katanya yang menetap di Ayer Keroh, Melaka.

Katanya, penyertaan pertama Isabella dalam pertandingan itu membuahkan hasil apabila ‘si manja’ itu muncul juara bagi kategori kucing bulu panjang.

“Saya membawa Isabella menyertai Fun Cat Show sebagai pendedahan untuk bersaing pada pertandingan lain selepas ini kerana hampir setiap bulan saya menyertai pertandingan kucing sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Saya mempunyai enam kucing baka Parsi dan Bengal yang biasa menyertai pertandingan dalam pelbagai kategori,” katanya yang banyak mendapat sokongan daripada suami, Riduan Mohamed, 44.

Sementara itu penganjur pertandingan, Isma Haryati Yahya berkata, pertandingan yang kali pertama diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran peserta Melaka, Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Terengganu.

“Kebanyakan peserta membawa sekurang-kurangnya dua kucing untuk bersaing dalam lima kategori yang mana pertandingan itu bermula 10 pagi. Pengunjung juga rata-ratanya berpuas hati apabila dapat melihat pelbagai jenis kucing yang menarik. Justeru kita akan menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan dengan penyertaan lebih banyak kucing,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

5