Kucing Ini Berjaya Menyelamatkan Lelaki Ini Daripada BU.NUH Diri

Kucing Ini Berjaya Menyelamatkan Lelaki Ini Daripada BU.NUH Diri

Ini merupakan sebuah kisah benar. Bagaimana seorang insan yang telah hilang segalanya menemui kembali harapan untuk terus hidup dengan bantuan seekor kucing.

SEWAKTU KECIL

James Bowen dilahirkan pada Mac 1979 di daerah Surrey, UK. Zaman kanak-kanak Bowen boleh dikatakan penuh derita. Beliau bukanlah dari satu institusi keluarga yang bahagia. Kehidupan beliau ketika itu boleh dikatakan penuh penderitaan. Ibubapa beliau telah bercerai sewaktu usia beliau masih lagi muda. Disebabkan penceraian itu Bowen terpaksa mengikut ibunya berpindah dan menetap di Australia. Mereka sering berpindah randah dan tidak sempat tinggal lama di sesuatu kawasan. Disebabkan itu, Bowen tidak mempunyai begitu ramai kawan dan ini menyebabkan beliau sering menjadi mangsa buli. Beliau tidak menghabiskan persekolahan beliau dan sekadar berhenti pada tahun ke dua sekolah menengah sahaja. Pada ketika itu beliau boleh dikatakan mempunyai pelbagai masalah pembelajaran seperti ADHD, schizophrenia dan juga masalah depresi yang amat serius.

MULA HIDUP SEBAGAI GELANDANGAN

Pada tahun 1997 beliau telah kembali semua ke England. Ketika itu beliau menumpang berteduh di rumah kakak beliau. Akan tetapi lama kelamaan hubungan mereka menjadi semakin renggang sehingga Bowen terpaksa membawa diri keluar dari rumah kakaknya itu. Beliau tidak mempunyai pilihan selain tidur di kaki lima atau di bangku taman. Maka bermulalah hidup Bowen sebagai seorang gelandangan. Kehidupan beliau ketika itu amatlah tidak terarah. Tekanan yang dihadapi oleh beliau menyebabkan beliau mula mendekati dadah. Bowen berkata dalam satu temu ramah,

“Bila kita hidup di jalanan kita cuba sedaya upaya mencari keselesaan biarpun sekelumit, dan ramai berpaling arah ke dadah bagi melupakan masalah yang dihadapi oleh mereka” – James Bowen

Beliau kekal dengan keadaan hidup yang sedemikian buat satu tempoh yang agak lama. Bowen hidup di jalanan hinggalah beliau dapat menyewa sebuah rumah melalui program perumahan untuk golongan gelandangan yang dilaksanakan oleh kerajaan UK. Rumah sewa beliau yang terletak di Tottenham, London ketika itu kecil sahaja saiznya namun itu sudah ibarat syurga bagi Bowen berbanding kaki lima yang amat sejuk di waktu malam. Pada ketika itu beliau membayar sewa rumah beliau menggunakan hasil kutipan dari bermain gitar di jalanan.

BERTEMU KUCING CEDERA

Pada satu hari berhampiran dengan stesen kereta api Bowen melihat seekor kucing berwarna oren yang sedang menjilat luka di kakinya. Luka tersebut berkemungkinan hasil dari pergaduhan diantara kucing tersebut dengan kucing jalanan lain. Pengalaman beliau yang pernah hidup di jalanan menimbulkan perasaan belas dalam dirinya. Bowen tidak boleh membiarkan kucing yang cedera itu begitu yang dilihat begitu memerlukan pertolongan dari manusia jika ingin terus hidup. Kucing tersebut diambil dan dibawa oleh Bowen untuk dirawat di klinik haiwan berhampiran. Biarpun hidup Bowen ketika itu boleh diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, beliau cuba sedaya upaya membayar kos rawatan kucing tersebut dengan hasil busking beliau yang tidak seberapa.

Dengan rawatan dari doktor haiwan dan juga preskripsi ubatan kucing tersebut akhirnya beransur pulih. Bowen yang pada awalnya menyangka kucing tersebut mungkin mempunyai tuan melepaskan semula kucing tersebut. Namun kucing tersebut seakan enggan meninggalkan Bowen. Bowen menjadi sebak ketika itu. Rata-rata ahli keluarga beliau seakan melupakan beliau dan memandang jijik keadaan beliau namun di mata kucing tersebut Bowen hanya seorang manusia yang telah menyelamatkan ia. Sejak dari itu kucing tersebut mula tinggal dengan Bowen.

Pada waktu itu Bowen merasakan sangat sukar untuk berpisah dengan kucing tersebut yang diberi nama Bob oleh Bowen. Bob mengikut Bowen ke mana saja Bowen pergi. Bob mengikuti Bowen menaiki bas untuk bekerja dan apabila Bowen bermain gitar di jalanan Bob akan duduk berhampiran dengan Bowen. Perkara itu sedikit sebanyak menarik perhatian orang awam untuk berhenti dan melihat Bob. Pendapatan Bowen mengalami peningkatan yang mendadak pada waktu itu. Bob seolah-olah satu rezeki dari tuhan yang membantu Bowen untuk terus hidup. Keuntungan yang diperolehi oleh Bowen telah membantu beliau untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

Sumber: THE PATRIOTS

 

2