Lelaki OKU Merangkak Ke Tepi Longkang Untuk Selamatkan Anak Kucing

Lelaki OKU Merangkak Ke Tepi Longkang Untuk Selamatkan Anak Kucing

Seorang atlet paralimpik Sabah, Abu Fathiyyaturahma membuktikan menjadi orang kelainan upaya (OKU) bukanlah alasan untuk tidak menghulurkan bantuan.

Biarpun keadaanya yang kudung kaki, Abu sanggup membahayakan dirinya demi menyelamatkan seekor anak kucing yang hampir terjatuh ke dalam longkang besar. Niat murni itu sempat dirakam oleh rakannya yang juga seorang OKU sebelum kemudiannya dimuat naik di Facebook (FB) miliknya.

Menerusi video tersebut, Abu dilihat merangkak turun ke bawah cerun longkang demi menyelamatkan anak kucing yang hanya berpaut pada dinding longkang. Usaha dan keberanian Abu dipuji ramai, malah posting di FB itu tular apabila telah dikongsi lebih 1,000 kali.

“Pagi tadi masa dalam perjalanan ke kompleks sukan Likas, kami ternampak seekor anak kucing yang terjatuh dalam longkang besar sedang berpaut kuat di dinding lokang dengan basah kuyup. Saya pun cuba naikkan kucing tu ke atas. Alhamdulillah kami dapat bantu dia naik.

“Sahabat saya yang merakam video ni juga seorang OKU pengguna kaki palsu dia tidak boleh turun untuk selamatkan anak kucing, jadi saya buat keputusan untuk turun selamatkan anak kucing tu,” katanya. Menerusi ruang komen, rata-rata netizen memuji tindakan murni itu.

Sumber: GEMPAK

2