Logo Visit Malaysia 2020 Dikecam, Netizen ‘Belanja’ Hasil Logo Visit Malaysia Yang Lebih Menarik

Logo Visit Malaysia 2020 Dikecam, Netizen ‘Belanja’ Hasil Logo Visit Malaysia Yang Lebih Menarik

REALITINYA, ini bukan kali pertama rakyat Malaysia berganding bahu mengeluarkan idea bernas dalam membicarakan rekaan logo yang dihasilkan oleh sesebuah jabatan kerajaan atau pihak kementerian.

Sambutan Hari Kemerdekaan contohnya sering dijadikan ‘mangsa’ kritikan netizen yang mempertikai kualiti dan idea yang dihasilkan oleh individu yang diamanahkan pihak atasan.

Penghasilan logo atau poster bagi sesuatu sambutan atau festival dianggap sangat penting kerena ia mencerminkan imej dan lambang dedikisi buat sesebuah negara.

Namun bagi tahun ini, penghasilan logo ‘Visit Malaysia’ atau Tahun Melawat Malaysia 2020 membuka tirai dengan rekaan poster yang mencetuskan pelbagai kecaman dan maklum balas negatif daripada orang ramai, terutamanya dari kalangan pereka grafik.

Malah, ia merupakan isu hangat yang sedang kecoh diperkatakan ketika ini.

Rata-rata mereka mengkritik dan meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti serta konsep persembahan logo terbitan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu yang disifatkan tidak menepati taraf selayaknya.

Tidak setakat itu, ada juga yang  menuduh logo berkenaan direka menggunakan aplikasi seperti Microsoft Paint sekaligus memalukan nama pereka grafik Malaysia.

Malah, sebahagian netizen turut membandingkan logo itu dengan beberapa negara lain, yang dikatakan jauh lebih baik dan menarik berbanding Malaysia.

Menariknya, di sebalik kritikan atau cemuhan yang dilemparkan, tidak kurang juga ada yang mahu membuktikan mereka bukan hanya beromong kosong.

Ramai mula menunjukkan rasa prihatin dan daya kreativiti sendiri dengan turut berkarya bagi membuktikan logo yang lebih menarik sebenarnya boleh dihasilkan.

Antara menarik perhatian kami adalah pengguna Twitter yang dikenali sebagai Muhammad Hidayatullah yang menghasilkan dua poster.

Menurutnya, tindakann menghasilkan poster ini adalah sebagai protes kepada pihak Kementerian Pelancongan untuk mengambil pereka grafik yang lebih kreatif.

Rekaan dihasilkan dengan menggunakan tona warna jingga selain turut menggunakan beberapa haiwan dan mercu tanda sebagai pelengkap poster.

Terdapat dua rekaan dihasilkan iaitu versi ringkas bagi rekaan pertama manakala rekaan kedua lebih padat dan terperinci.

Kedua-dua poster berkenaan masing-masing menerima sebanyak 8,000 dan 10,000 ‘retweet’ daripada pengguna media sosial lain.

Seterusnya adalah Syaheer Ahmad yang mengubah suai rekaan poster berkenaan kepada lebih tersusun dengan ilustrasi haiwan yang digunakan tampak lebih moden sambil menggunakan latar belakang berwarna biru.

Poster terbabit menerima lebih daripada satu ribu ‘retweet’ selepas dimuat naik sejak kelmarin.

Sementara itu, pengguna Twitter yang menggunakan akaun nama @ohoooamer turut mencuba nasib mengolah semula rekaan poster berkenaan.

Bereksperimentasi dengan warna kelabu sebagai latar belakang poster ini, tumpuan lebih kepada jenis tipografi yang digunakan dengan pemilihan warna hijau bagi nombor 2020.

Selepas melihat keempat poster ini apakah pendapat anda… Adakah sesuatu rekaan yang dihasilkan pihak kementerian wajar dikritik atau sekadar membiarkan saja hasilnya sehingga menjadi bahan jenaka ramai termasuk persepsi masyarakat luar negara?