Memeluk Haiwan Dapat Menenangkan Jiwa

Memeluk Haiwan Dapat Menenangkan Jiwa

MEMELUK serta bermanja dengan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing adalah perkara biasa buat pecinta haiwan.

Malah ia dapat membuatkan seseorang berasa lebih tenang selepas seharian sibuk dengan aktiviti harian apabila dapat bermanja dengan haiwan peliharaan mereka.

Namun di Amerika Syarikat, sebuah ladang iaitu Mountain Horse Farm menawarkan sesi memeluk haiwan seperti lembu dan kuda selama dua jam buat yang inginkan kelainan.

Mereka yang berkunjung ke ladang itu bukan sahaja boleh memeluk dan bermanja tetapi melakukan aktiviti lain seperti memberi makan, menunggang kuda, memandikan serta memberus bulu haiwan yang terdapat di situ dengan harga AS$75 (RM306).

Walaupun kedengaran janggal untuk bermanja dengan haiwan lebih besar namun ramai menyifatkan aktiviti itu sebagai menyeronokkan selain memberi ketenangan.

Malah ramai berpendapat haiwan seperti kuda dan lembu sangat mesra dan manja sekiranya didekati dengan cara betul.

Bukan sahaja di Amerika, Belanda juga mempunyai sebuah ladang khas untuk bermanja dengan lembu jenis Dutch.

Aktiviti itu dipercayai dapat membina kepercayaan antara haiwan dan manusia menerusi sentuhan. – mStar

8