Menakjubkan Hotel Kapal Terbang Di Hutan Malaysia

Menakjubkan Hotel Kapal Terbang Di Hutan Malaysia

KUANTAN: ‘Ide gila’ dua beranak sejak tiga tahun lepas mencetuskan kewujudan hotel kapal terbang, dipercayai yang pertama seumpamanya di negara ini.

Kevin Young Thien Sheng, 30, berkata, hasrat untuk membuka hotel unik itu yang menggunakan pesawat Boeing 737-400 dijangka dapat direalisasikan awal tahun hadapan memandangkan beliau baharu ‘memindahkan’ kapal terbang itu ke Sungai Lembing di sini.

Sambil tersenyum, Kevin berkata, pesawat itu dibeli ayahnya, Young Yeong Long, 61, daripada sebuah syarikat penerbangan yang perlu melupuskan pesawat melebihi tempoh perkhidmatan.

“Kerja paling sukar ialah membawa pesawat dari Selangor ke sini. Kami perlu memotong pesawat kepada beberapa bahagian, menyewa lima treler dan dua kren untuk mengangkat pesawat pada awal Mei.

“Kami juga perlu membuat jalan khas supaya kenderaan membawa pesawat dapat masuk ke resort. Kami sedaya upaya tidak mahu menebang pokok di sini, namun terpaksa juga memotong satu dua (pokok) bagi memuatkan bahagian sayap,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Kevin berkata, mereka mengambil masa selama dua bulan merancang perjalanan pesawat itu ke sini, supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak mengganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.

“Paling seronok apabila kami mula memasuki Sungai Lembing. Berita tentang pesawat itu tersebar begitu cepat dan orang ramai beratur di tepi jalan untuk melihat sendiri…suasana begitu meriah ibarat pesta pada hari itu,” katanya.

Beliau, graduan sarjana muda Universiti Lim Kok Wing enggan mendedahkan jumlah dibelanjakan untuk membeli pesawat itu, sekadar senyum dan berkata, ‘sangat mahal’ selain perlu mematuhi prosedur ketat.

Walaupun mengeluarkan belanja besar, Kevin menambah mereka mungkin membina hanya lima bilik daripada keseluruhan 36.57 meter (120 kaki) pesawat itu bagi menjamin keselesaan pengunjung.

“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk… jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung,” katanya.

Sumber: Harian Metro

2