Mereka Inilah Yang Temankan Saya Setiap Hari

Mereka Inilah Yang Temankan Saya Setiap Hari

“Aku sayangkan kucing. Aku makan, kucing pun kena makan. Kalau aku tidur di kaki lima, kucing belaan aku temankan,” kata Ahban Matsah, 61, menceritakan kisah hidupnya bergelandangan di kaki lima bertemankan kucing terbiar di Taman Saujana, Plentong, di sini.

Ketika malam melabuhkan tirai, kebanyakan orang mungkin tidur di tilam empuk namun tidak bagi Ahban yang hanya melelapkan mata beralaskan kotak bertemankan kumpulan kucing terbiar yang sanggup menemani dirinya hingga ke Subuh.

Bahkan Ahban tidak menolak pelawaan berkongsi kisah kehidupannya meskipun jam di tangan menunjukkan jam 1.30 pagi, selain lebih selesa membuka kisah hidupnya dengan kucing jalanan itu seolah-olah dirinya ‘tuan’ kepada haiwan berkenaan.

Biarpun usaha mendekati kucing berkenaan dilakukan namun keinginan terbabit langsung tidak dipedulikan haiwan itu, sebaliknya selesa di samping tuannya dan duduk mengelilingi warga emas yang hidup bergelandangan di kaki lima jalan itu.

Selesa menggelar diri dengan Saaban, lelaki terbabit mempunyai kisah hidupnya bergelandangan di kawasan berkenaan lebih 30 tahun selepas mendakwa kediamannya di tanah rizab di Kampung Melayu Pandan di sini, dirobohkan pihak bertanggungjawab.

“Dulu aku (panggilan diri) ada rumah di Kampung Melayu Pandan, tapi selepas rumah aku dirobohkan, aku dirikan pondok di tanah rizab TNB untuk dijadikan tempat berteduh.

“Tapi aku jarang balik ke sana kerana tidak mempunyai bekalan elektrik dan air, selain lebih selesa menumpang tidur di kaki lima bersama kucing belaan aku,” katanya.

Dia yang hidup sebatang kara selepas dipinggirkan keluarga sejak kematian ibu bapanya, mengakui dirinya kini selesa bertemankan haiwan kesayangan terbabit.

Kasih sayang warga emas terbabit cukup terkesan apabila dilihat menggunakan masa terluang di tengah malam bermain dengan haiwan itu dan hubungan akrab itu membuatkan jiwa tersentuh akan sifat kemanusiaan dimiliki Saaban.

Saaban berkata, dengan pendapatan kurang RM30 sehari sebagai pencuci pinggang mangkuk, ia digunakan secara berjimat cermat untuk mengisi perut dan membeli makanan kucing yang dianggap sebagai kawan.

“Saya tidak berkira soal menyediakan makanan haiwan terbabit bahkan memperuntukkan RM19.90 daripada pendapatan diperoleh setiap hari untuk membeli makanan kucing terbiar itu.

“Aku dah lali dengan benda macam ni, aku tahu kucing ni sayang aku, setiap kali sebelum kerja, balik kerja dan sebelum aku tidur, aku akan bagi semua makan,” katanya.

Setakat ini, lapan kucing menjadi peneman Saaban setiap kali dirinya tidur.

“Kucing ini seakan-akan memahami kepulangan dengan menunggu di tempat yang selalu menjadi persinggahan aku setiap hari.

‘“Aku bukan nak cakap apa la. Kucing ni macam sudah boleh bau bila aku balik kerja, kadang ada sampai terkejar-kejar datang dekat aku, macam dia dah tau.

‘“Bila aku tidur semua keliling aku tidur sama, dah macam kawan kucing ni dengan aku,” katanya seronok berkongsi kisah hidupnya bersama kawanan kucing jalanan yang menjadi pengunjung setia kaki lima jalan Taman Saujana, Plentong, di sini.

Dengan memiliki sebuah basikal, dia bergerak ke sana ke mari, malah berulang-alik ke tempat kerja setiap hari dan menjengah kucing berkenaan setiap kali waktu rehatnya.

“Kebetulan perjalanan dari tempat kerja di medan selera Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya di sini, ke lokasi terbabit mengambil masa 15 minit dan jika ada kelapangan setiap hari aku pasti menjenguk kucing itu,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

1