Pakatan Harapan, Umur 18 Muda Sangat Untuk Kahwin Umur 20 Tahun Sesuai

Pakatan Harapan, Umur 18 Muda Sangat Untuk Kahwin Umur 20 Tahun Sesuai

WANITA PKR Selangor mencadangkan supaya had usia perkahwinan dinaikkan kepada 20 tahun ke atas bagi mengatasi masalah perkahwinan kanak-kanak.

Wakilnya, Ermeemarianna Saadon, berkata, cadangan itu penting bagi melindungi wanita terutama dari segi aspek kesihatan.

“Umur di bawah 20 tahun adalah terlalu muda dan belum cukup matang untuk seorang wanita bergelar ibu dan berkeluarga. Mereka belum cukup matang dan berilmu dalam soal rumah tangga.

“Perkahwinan di usia muda dilihat menjadi punca berlakunya kes keganasan rumah tangga dan perceraian dalam kalangan pasangan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Ucapan Dasar Ketua Wanita PKR, pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Ermeemarianna berkata, kerajaan perlu menggubal dasar berkaitan kerana isu perkahwinan membabitkan kanak-kanak dilihat semakin serius.

“Kalau boleh buat pindaan kerana bimbang kesihatan ibu muda mengandung, jika mengandung pada usia muda, dibimbangi mereka akan mengalami masalah kesihatan.

“Bayangkan jika ibu muda mengandung yang masih belajar. Mereka terpaksa membawa badan yang sarat untuk ke kelas dan ini juga menyukarkan mereka memberi tumpuan kepada pelajaran,” katanya.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan berhasrat menaikkan had usia perkahwinan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Sumber:  HARIAN METRO