Pakcik 62 Tahun Sanggup Keluarkan RM 3000 Sebulan Untuk Bela Kucing

Pakcik 62 Tahun Sanggup Keluarkan RM 3000 Sebulan Untuk Bela Kucing

Seorang peniaga runcit bukan saja memperuntukkan kira-kira RM3,000 sebulan untuk memelihara 40 kucing terbiar, malah sanggup membawa pulang bangkai haiwan berkenaan yang ditemui di mana-mana lokasi untuk ditanam.

Abdullah Abu Bakar, 62, yang tinggal di Kampung Jawa di sini, berkata dia tidak sampai hati membiarkan haiwan berkenaan hidup terbiar apatah lagi kucing adalah haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW.

“Saya tidak pernah berasa rugi untuk menyediakan makanan dan minuman kepada kucing terbiar walaupun perlu membelanjakan sejumlah besar wang. Bukan sekadar memberi makanan dan minum, saya juga akan merawat kucing liar yang cedera akibat kemalangan ataupun menanamnya dengan sempurna termasuk yang mati akibat penyakit atau kecederaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Abdullah, sifat sayangkan kucing juga dikongsi isterinya, Normah Abdul Wahab, 62, bersama empat anak mereka yang berusia 28 hingga 40 tahun.

“Kami pikul tanggungjawab menjaga kucing ini bersama-sama. Jika ada antara kami menemui kucing yang mati akibat kemalangan, ia akan dibawa pulang untuk ditanam,” katanya.

Katanya, sejak memelihara kucing berkenaan dua tahun lalu, rezekinya tidak pernah berkurangan malah sentiasa bertambah.

Menurut Abdullah, dia turut menyewa sebuah rumah kosong milik penduduk dengan sewa RM150 sebulan untuk menempatkan 20 sangkar kucing.

“Saya beri semua kucing makan nasi berlauk ikan, makanan kucing selain air mineral. Kucing yang buta, cedera di perut dan patah tulang akibat kemalangan akan dihantar ke klinik haiwan di Jabatan Haiwan untuk rawatan. Nama kucing pula diberi berdasarkan fizikalnya atau tempat ditemui seperti Putih, Hitam, Buta, Belang, Rezeki dan Manja,” katanya.

Menurut Abdullah, dia bercadang untuk membina sebuah apartmen mini untuk memastikan semua kucing peliharaannya hidup selesa.

“Saya juga bercadang untuk menawarkan inap desa kucing kepada mana-mana pihak yang mempunyai urusan atau ingin bercuti untuk tempoh tertentu. Antara kemudahan inap desa kucing berkenaan ialah kelengkapan pendingin udara, bebas nyamuk, dua kali hidangan sehari selain bebas tulang dalam makanan serta kemudahan rawatan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

2