Pasangan Warga Emas Sambut  Aidilfitri Bersama 7 Ekor Kucing

Pasangan Warga Emas Sambut Aidilfitri Bersama 7 Ekor Kucing

KUALA LANGAT: Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Aidilfitri, sepasang suami isteri warga emas hanya mampu meraikannya secara ala kadar dengan ditemani tujuh kucing.

Mohd Ngadani Mokhtar, 62, yang tidak mampu berjalan selepas terjatuh beberapa tahun lalu, dan isteri, Asmah Amsar, 68, tiada dikurniakan cahaya mata dalam perkahwinan lebih 30 tahun mereka. Mereka yang hidup dalam serba kekurangan, menerima bantuan RM250 sebulan daripada Lembaga Zakat Selangor.

Walaupun dihimpit kedaifan, Asmah berkata, mereka tetap berusaha membela semua kucing berkenaan yang dikutip dari jalanan dan dijaga umpama anak sendiri. Beliau yang membahasakan diri sebagai ‘mak’ kepada kucing terbabit berkata, kehadiran haiwan berkenaan sedikit sebanyak mengisi kesunyian dan menceriakan kehidupan mereka berdua.

Katanya, kucing terbabit yang dibahasakan sebagai ‘anak’ pula diberi nama Noni, Uji Rashid, Cok Mat, Bujan Kelanang, Pak Mat Parang Tajam, Akak dan Saerah.

“Mereka memahami cakap mak cik dan pak cik. Apabila minta dicium, ‘anak-anak’ akan datang dan cium mak cik. Apabila dimarahi, mereka akan menjauh pula. Malah apabila berehat kerana penat, ‘anak-anak’ akan datang dan ‘memicit’ badan mak cik.

“Walaupun hidup susah, kami sedaya upaya membela kucing ini. Apa yang kami makan, itulah juga diberikan kepada mereka. Kadang-kadang, mak cik belikan makanan kucing,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Leha. Namun, beliau berkata, Aidilfitri tahun ini suram berikutan adik perempuannya yang menetap bersama mereka sejak 30 tahun lalu, menin ggal dunia sehari sebelum Ramadan akibat ba rah pan gkal rahim.

Sumber: BHARIAN

1