Pengalaman Berpuasa Selama 17 Jam Di Norway

Pengalaman Berpuasa Selama 17 Jam Di Norway

“AMAT menakjubkan,” kata Khairul Fuad Junaidi, 23, yang berpeluang merasai suasana ‘Midnight Sun’ atau ‘dunia tanpa malam’ berikutan fenomena matahari tidak terbenam selama empat hingga lima bulan.

Anak kelahiran Ranau, Sabah itu berkata, sudah empat tahun dia menetap di negara yang terletak di garisan Artik iaitu di Longyearbyen, Norway.

Menurut Khairul Fuad atau lebih mesra dengan panggilan Khai, ‘Midnight Sun’ berlaku pada musim panas. Katanya, selepas berakhir musim panas, barulah muncul malam sepanjang musim sejuk.

“Pada musim panas matahari akan kelihatan 24 jam sepanjang tempoh empat ke lima bulan.

“Apabila musim sejuk pula tiada matahari, hanya malam sepanjang hari, juga dalam tempoh 24 jam sepanjang empat ke lima bulan, ” katanya. Khai berkata, ketika ini dia berpuasa selama 17 jam berpandukan waktu di Makkah.

“Oleh kerana tiada malam, saya solat dan berpuasa berpandukan waktu di Makkah. Mula bersahur pada 2 pagi (waktu tempatan) dan berbuka pada jam 8 malam (waktu tempatan),” katanya yang bekerja sebagai pelayan di restoran di Longyearbyen.

Menurutnya, walaupun dipanggil musim panas, cuaca di Longyearben kini tetap sejuk dan sangat mencabar ketika Ramadan.

“Apabila tiba musim sejuk, suhu boleh mencecah sehingga -40 darjah celsius. Jika musim panas cuaca mencapai sehingga -6 darjah celsius dan ia tetap sejuk walaupun dipanggil musim panas.

“Akibat cuaca sejuk, kesuburan pokok dan tumbuhan pun terbantut. Bagaimanapun dengan keadaan cuaca yang sangat ekstrem ia tidak menghalang saya untuk menjalankan ibadah puasa,” katanya.

Khai yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, kali terakhir dia pulang ke kampung halaman pada Disember tahun lalu. Katanya , dia rindukan juadah berbuka puasa yang ada di Malaysia seperti ayam masak kicap dan kuih.

Sumber: HARIAN METRO

5