Restoran Yang Menyediakan Menu Bersama Kucing Di Sabah

Restoran Yang Menyediakan Menu Bersama Kucing Di Sabah

Menikmati secawan kopi sambil ditemani sekumpulan kucing comel dan manja, pasti saat menyenangkan buat mereka yang menyayangi haiwan berbulu lembut itu.

Bersantai, bermain dan membelai manja kucing boleh menjadi terapi yang mampu mengurangkan tekanan dan keletihan selepas seharian bekerja.

Bagi peminat tegar haiwan manja itu di Sabah, mereka boleh merasakan suasana berkenaan dengan berkunjung ke Pawz Garden Cafe di Lorong Kompleks BSA, SEDCO Industrial Estate dekat Kolombong, di sini.

Selain pelbagai menu menarik yang membuka selera, pelanggan Pawz Garden Cafe berpeluang bermain dengan 10 ekor kucing diletakkan bersebelahan kafe berkenaan.

Antara jenis baka kucing di kafe itu ialah Persian, Exotic Shorthair, Exotic Longgair, British Shorthair dan kucing baka tempatan.

Pemilik kafe, Tan Siong Boon, 35, berkata dia mengusahakan premis itu bersama isteri, Jenet Chan, 33, dan dibantu beberapa ahli keluarga lain.

Sejak mula beroperasi selepas Aidilfitri lalu, Pawz Garden Cafe menjadi tumpuan warga bandar raya ini dan kawasan berhampiran untuk menjamu selera, selain ada yang datang semata-mata mahu bermain dan bermanja dengan kucing.

Siong Boon berkata, ada antara pelanggan sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk memuaskan keinginan bersama kucing di sini.

“Ramai pelanggan mengambil pakej RM20 bagi dewasa dan RM10 kanak-kanak iaitu tiket masuk ke studio kucing bersama makanan dan minuman. Melalui pakej ini, pelanggan boleh menjamu selera sambil mempunyai akses untuk masuk ke studio kucing.

“Biasanya, pelanggan yang mengambil pakej ini menghabiskan masa terlebih dahulu membelai kucing di studio dengan tempoh maksimum sejam, sebelum menjamu selera di kafe yang dipisahkan dengan cermin kaca.

“Bagaimanapun, pelanggan juga boleh memilih untuk datang makan tanpa perlu membeli tiket masuk ke studio kucing,” katanya.

Beroperasi setiap hari kecuali Isnin, Pawz Garden Cafe menghidangkan aneka juadah tempatan dan barat bagi menepati citarasa pelanggan, antaranya spageti ayam bersama roti bawang putih, makaroni keju, roti gulung tuna dan aneka kek serta wafel.

Siong Boon berkata, semua kucing dalam studio di kafe berkenaan menjalani proses dandanan setiap minggu bagi memastikan kesihatan serta kebersihan haiwan itu sentiasa dalam keadaan baik.

Sementara itu, isterinya, Jenet Chan berkata, selain membuka kafe berkonsepkan studio kucing, dia dan suami terlebih dahulu membuka premis menjual keperluan haiwan sebelum membuka kafe bersebelahannya.

“Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan hotel dan spa bagi kucing dan anjing. Perkhidmatan ini sering menjadi pilihan sesetengah penggemar haiwan sekiranya mereka perlu bertugas lama di luar kawasan atau balik ke kampung,” katanya.

Berkongsi perancangan jangka panjang bagi keseluruhan perniagaan diusahakan mereka, pasangan suami isteri itu berhasrat menambah lagi menu sedia ada di kafe terbabit, selain menambah baik hiasan dan jumlah kucing dalam studio agar menarik perhatian lebih ramai pengunjung.

Sumber: BERITA HARIAN

1