Sanggup Merangkak Ke Dalam Longkang Demi Selamatkan Anak Kucing Kesejukan

Sanggup Merangkak Ke Dalam Longkang Demi Selamatkan Anak Kucing Kesejukan

“PATUTLAH hati kami tergerak untuk keluar lewat rupa-rupanya ada sesuatu yang memerlukan bantuan,” kata Abdul Khamis Laharuso, 36, yang juga orang kurang upaya (OKU), ketika menyelamatkan anak kucing terjatuh dalam longkang berdekatan Stadium Likas, Sabah Ahad lalu.

Abdul Khamis atau dikenali sebagai ‘Ming’ yang juga atlet paralimpik Sabah bersama seorang lagi rakan, Elvis Sius yang juga OKU ketika itu dalam perjalanan menjalani latihan harian sebelum terdengar bunyi anak kucing dari longkang terbabit. Pada mulanya, rakannya berhasrat untuk menyelamatkan anak kucing terbabit namun disebabkan keadaannya yang kudung kaki, Abdul Khamis dengan rela hati turun ke longkang untuk menyelamatkan haiwan itu.

“Sebahagian daripada bulu anak kucing itu basah dan tidak menolak kemungkinan sudah semalaman terperangkap dalam longkang terbabit. Saya segera duduk tepi longkang dan menariknya keluar. Sebaik berjaya ditarik keluar, haiwan itu terdiam sebelum melarikan diri. Mujurlah tiada hujan pada malam itu, jika tidak sesuatu akan berlaku ke atasnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro. Dia yang kini berada di Sarawak menjalani pemilihan atlet ke Sukan SEA di Manila berkata, anak kucing itu bertenggek di tepi dinding longkang sambil mengeluarkan bunyi.

“Mujur kami terdengar bunyi dan segera menghulurkan bantuan dan rakan merakam video dan memuat naik dalam Facebook,” katanya sambil bersyukur kerana berjaya menyelamatkan haiwan itu. Perbuatan Abdul Khamis mendapat pujian ramai netizen. Katanya, ini kali pertama dia membantu haiwan seperti ini dan bersyukur kerana tiada kejadian tidak diingini berlaku.

“Selama ini, saya tidak berpeluang untuk melakukan seperti ini, tapi dengan keizinan Allah, saya mendapat peluang itu,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

4