Saya Beli Setiap Seekor Kucing Ni Harganya Hampir RM 30 Ribu

Saya Beli Setiap Seekor Kucing Ni Harganya Hampir RM 30 Ribu

Kucing baka Maine Coon berharga RM25,000 dan RM30,000 antara yang terbaik diimport khas dari Kazakhstan untuk dibiakkan seorang pemuda sejak tiga tahun lalu.

Pemuda berasal dari Kampung Pulau Rusa ini bukan hanya membiakkan Maine Coon, tetapi juga pelbagai jenis kucing elit lain termasuk baka Ragdolls, Bengal, Scottish Fold, British Short Hair, Persian dan Sphinx.

Ariff Hakim Mohd Zuki, 27, berkata, dia tidak pernah merancang untuk menjadi pembiak kucing baka terbaik itu tetapi ia bermula selepas bapanya, Mohd Zuki Sidek, 51, membelikannya kucing Maine Coon berharga RM25,000.

“Ciri-ciri elit pada kucing yang diberi nama Klark itu mendorong saya membawanya ke beberapa pertandingan dan memenangi beberapa kategori selain ia menjadi perhatian orang ramai.

“Bermula dari situ saya mendapat idea untuk membiaknya secara serius dan mula mendapatkan baka terbaik dari Kazakhstan, Russia dan Itali.

“Selepas tiga tahun membiakkan kucing baka itu, kini saya memiliki 200 kucing termasuk 80 induk terbaik yang semuanya diimport dari luar negara,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mengenai pencapaian kucing yang dibiaknya itu katanya, kucing baka Maine Coon yang dipanggil dengan nama Ignat yang baru dibelinya dengan harga RM30,000 memenangi kategori Best of The Best di KL Tower Cat Show pada Januari lalu.

“Saya biasa membawa kucing yang menepati piawaian ke pertandingan kucing kerana selain dapat bertanding, ia juga memberi peluang untuk berkenalan dengan penggemar kucing di seluruh negara sekali gus sebagai strategi pemasaran haiwan yang dibiak,” katanya.

Ariff berkata, dia menjual kucing yang dibiaknya, hanya secara dalam talian termasuk Instragram dan Facebook.

“Sambutan yang diterima setakat ini sangat menggalakkan dengan harga untuk semua jenis kucing itu bermula dari RM500 hingga RM1,300 bergantung kepada jenis, saiz dan cirinya,” katanya.

Menurutnya, baka Maine Coon dan Ragdolls yang paling mendapat sambutan walaupun harganya agak mahal berbanding kucing baka lain.

Harga setiap kucing bergantung kepada ciri yang ada pada kucing itu. Semakin sempurna kucing baka itu, semakin mahal harganya selain beberapa kriteria termasuk saiz dan telinganya.

“Saya mempelajari teknik membiak kucing daripada pakar haiwan itu dari Kazakhstan, Sergey Kirichenko dan Irina Kirichenko bagi memastikan proses membuahkan hasil terbaik.

“Mereka pernah ke Terengganu selama lima hari untuk mengajar saya mendalami selok-belok proses membiak khususnya baka Maine Coon yang kian menjadi kegilaan peminat kucing di negara ini,” katanya.

Menurutnya, dia memperuntukkan lebih RM5,000 sebulan untuk memastikan kucing yang dibiak itu mendapat sumber makanan lengkap bagi menjamin kesihatan dan kualiti anak kucing yang dihasilkan.

“Buat masa ini, saya lebih tertumpu kepada baka Maine Coon serta Ragdolls kerana permintaannya yang tinggi dan sebab itu, saya pastikan kualiti anak yang dihasilkan menepati piawaian yang ditetapkan.

“Kucing baka itu mempunyai makanan khas yang diproses sendiri untuk memastikan kualiti anak kucing yang dihasilkan daripada induknya bergred A,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

2