Saya Dah Selamatkan 20,000 Ekor Kucing Sejak Tahun 1980

Saya Dah Selamatkan 20,000 Ekor Kucing Sejak Tahun 1980

Sifat menyayangi haiwan terutama kucing cukup tebal dalam dirinya dan kelebihan itu dimiliki sejak kecil.

Ketika zaman persekolahan, pantang terjumpa kucing jalanan atau terbuang di tepi jalan pasti akan diselamatkan kemudian dibawa pulang untuk dipelihara.

Disebabkan ‘tabiat pelik’ itu, kerap juga dia dimarahi ibunya yang kurang selesa dengan tindakannya apatah lagi kucing peliharaan mencecah 60 ekor.

Rumah keluarganya di Negeri Sembilan pada masa itu sekitar 1969 kelihatan seperti zoo mini. Walaupun pada mulanya mendapat tentangan, akhirnya minat itu dikongsi bersama keluarganya.

Obses terhadap haiwan berkenaan semakin ketara apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menyertai Persatuan Malaysian Cat Fancy pada 1980 ketika bekerja di Kuala Lumpur.

Persatuan terbabit kebanyakan dianggotai rakyat asing termasuk dari Eropah dan Switzerland yang menetap serta bertugas di negara ini.

Tapi selepas mereka pulang ke negara masing-masing, dia mengambil alih tanggungjawab menguruskan persatuan terbabit dan menukarkan nama kepada Kelab Kucing Malaysia (KKM).

Itu antara perkongsian ringkas kisah Presiden KKM Khalid Rashid berkenaan pembabitan awalnya dalam dunia pemeliharaan kucing yang semakin diminati ramai.

Jasa Khalid atau mesra disapa Pak Khalid terhadap ‘si bulus’ sangat besar dan dia umpama pembela kepada haiwan berkenaan.

Percaya atau tidak, lebih 20,000 kucing jalanan diselamatkan dan diserahkan kepada keluarga yang angkat berminat sejak menerajui kelab berkenaan pada 1983.

Di bawah terajunya juga KKM menjadi kelab yang cukup terkenal di negara ini selain berfungsi sebagai tempat rujukan dalam kalangan peminat si bulus ini.

Katanya, ia antara aktiviti kelab terbabit menerusi Kempen Kucing Jalanan bertujuan mengumpul dana bagi merawat kucing terbiar.

“Ia merangkumi proses pemberian vaksin dan juga memandulkan, bagi mengurangkan jumlah kucing jalanan terbiar.

“Hati saya mudah tersentuh setiap kali melihat kucing jalanan terbiar di tepi jalan dengan keadaan yang teruk selain menghidap penyakit,” katanya.

Menurutnya, sifat kucing mempunyai sedikit persamaan dengan manusia apabila haiwan itu sukakan perhatian untuk menumpang kasih dan dibelai manja.

“Haiwan ini memberi pengaruh besar kepada manusia kerana ia mendatangkan ketenangan yang lazimnya dapat dirasai peminatnya saja.

“Saya sendiri mempunyai 30 kucing daripada pelbagai jenis baka yang baik hinggalah kucing jalanan.

“Dulu keadaan kucing jalanan ini agak teruk dan selepas dirawat keadaannya lebih baik. Saya beri makanan berkualiti hinggakan bulunya menjadi lebat seperti kucing daripada baka baik,” katanya.

Khalid berkata, selepas 30 tahun menerajui kelab berkenaan dia mahu usaha membela nasib haiwan terbabit diteruskan pada masa akan datang terutama oleh 250,000 ahli kelab itu seluruh negara.

Katanya, kecintaannya terhadap haiwan berkenaan akan diterjemahkan lagi dengan membuka Muzium Artifak Kucing di Galeri Karlrush Catz miliknya di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Muzium ini bakal menghimpunkan 6,000 koleksi artifak kucing pelbagai jenis milik peribadi yang dikumpul sejak 1960-an.

“Koleksi paling banyak diperbuat daripada seramik dan semuanya menonjolkan keunikan tersendiri,” katanya.

Semua koleksi itu akan dipamerkan kepada orang ramai sempena Pets Lover Fiesta 2018 pada 3 hingga 11 Februari ini di kompleks berkenaan.

“Setiap kali ke luar negara bagi menghadiri seminar atau program berkaitan kucing, saya tidak akan melepaskan peluang membeli koleksi terkini barangan berbentuk kucing.

“Hingga kini saya sudah membelanjakan kira-kira RM100,000 wang simpanan untuk membeli semua koleksi itu demi merealisasikan impian membuka Muzium Artifak Kucing.

“Muzium Artifak ini juga muzium mini yang turut menempatkan barangan keperluan haiwan berkenaan dan alhamdulillah impian ini hampir tercapai,” katanya.

Bercerita lanjut berkenaan Pets Lover Fiesta 2018, Khalid berkata, program itu bakal menghimpunkan lebih 200 kucing dan 300 haiwan lain bagi memberi peluang kepada pencintanya menyaksikan gelagat haiwan itu.

“Dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, ia bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan haiwan peliharaan yang turut menggabungkan elemen kraf tangan.

“Fiesta ini menampilkan suasana ‘Cat Purr-radise’ seolah-olah pengunjung berada di syurga haiwan,” katanya.

Katanya, dia mempunyai dua perancangan besar bagi memartabatkan kucing terutama kucing jalanan iaitu dengan menubuhkan Muzium Kucing dan Taman Kucing.

Berkemungkinan muzium itu bakal dibuka di Bangunan Sultan Abdul Samad pada pertengahan tahun ini.

“Konsep muzium ini sangat unik kerana ia akan menjadi pusat sehenti kepada haiwan berkenaan.

“Peminat kucing bukan saja boleh melihat haiwan itu secara lebih dekat malah berpeluang mengetahui cara hidup setiap jenis kucing.

“Setiap jenis kucing mempunyai cara hidup dan karakter berbeza yang perlu difahami supaya dapat dijaga dengan baik,” katanya dan menambah ia bakal menjadi muzium kucing pertama di negara ini.

Selain itu, katanya, berkenaan perancangan mewujudkan taman kucing, ia memerlukan sokongan banyak pihak terutama dari kerajaan supaya dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ini kerana pihaknya memerlukan dana untuk membeli tanah bagi pembinaan taman yang bakal menempatkan kucing jalanan di satu tempat supaya haiwan itu tidak berkeliaran merata-rata.

“Negara luar seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain sudah ada taman ini kerana mereka begitu menghargai haiwan.

“Kita mahu bina taman kucing seperti Taman Rama-Rama yang akan menjadi salah satu tarikan pelancongan di negara ini,” katanya – HARIAN METRO

1