Saya Pernah Kutip Dan Selamatkan 40 Ekor Kucing Jalanan

Saya Pernah Kutip Dan Selamatkan 40 Ekor Kucing Jalanan

Tobena, Planta dan Kelepek, tiga kucing comel yang menggamatkan sesi fotografi bersama personaliti pilihan minggu ini Dr Zul Erwan Azmi. Ketiga-tiga kucing ini dibela Zul Erwan yang juga seorang doktor haiwan selepas diselamatkan dari jalanan.

Tobena kehilangan sebelah tangan dan satu kaki selepas dilanggar di jalan raya manakala Planta dan Kelepek diambil Zul Erwan selepas melihat nasib mereka yang terbiar.

Tiga kucing ini antara ratusan kucing terbiar yang diselamatkan Zul Erwan dan ia nyata menunjukkan kecintaan yang menebal terhadap haiwan di dalam diri lelaki ini.

“Ketika ini saya mempunyai 20 kucing yang saya bela di rumah dan semuanya saya kutip di jalanan atau kucing tidak bertuan yang dihantar individu prihatin ke klinik saya.

“Dulu saya pernah membela lebih 40 ekor kucing dalam satu masa, tapi rumah saya sekarang tidak sesuai untuk menampung jumlah kucing sebanyak itu jadi, ada yang saya beri kepada orang,” katanya di awal bicara.

Menurutnya, sudah banyak kucing jalanan yang dirawatnya dan diberi kepada kenalan mahupun pencinta kucing yang tidak dikenalinya kerana mahu kebajikan kucing itu terbela.

“Lazimnya selepas saya rawat dan kucing sudah sihat, saya letakkan gambar kucing itu di akaun Instagram mahupun Facebook dan ramai yang mahu menjaga mereka,” katanya.

Menurut Zul Erwan, dia sememangnya mempunyai perasaan sayang kepada haiwan terutama kucing sejak kecil dan sering berasa dekat dengan haiwan itu walaupun tidak membela mana-mana kucing dan sekadar memberi makanan kepada mereka.

Apabila remaja, minatnya itu semakin menebal lantas dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan haiwan di universiti sehingga mendapat ijazah perubatan dalam veterinar.

Dia kemudian menimba pengalaman selama lapan tahun di sebuah klinik haiwan persendirian di Shah Alam dan merawat ribuan binatang peliharaan.

Kemudian dia mengambil keputusan membuka klinik haiwan sendiri dan kini, sudah dua tahun Klinik Veterina Zul Erwan ber­operasi di Pusat Komersial Sungai Buloh.

“Saya membuat keputusan membuka klinik haiwan sendiri kerana saya lihat tidak banyak klinik haiwan di sini.

“Lagipun dengan klinik sendiri saya dapat membuat keputusan membantu lebih banyak haiwan dan saya akan dapat lebih kepuasan di situ,” kata jejaka berketinggian 186 sentimeter ini.

Sejak kebelakangan ini, kita juga me­nyaksikan banyak binatang yang secara terang-terangan dianiaya, malah pelaku dengan bangga menayangkan perbuatan kejam mereka di laman sosial dan perkara ini seakan-akan mengguris perasaan pencinta haiwan termasuklah Zul Erwan.

“Isu penganiayaan haiwan sering berlaku kini dan mereka yang melakukannya seakan-akan tidak berasa bersalah pula.

“Pada saya, mereka yang menyeksa haiwan adalah mereka yang kurang pendedahan terhadap kebajikan haiwan.

“Namun alhamdulilah, masih ramai yang sayang pada haiwan dan sekarang semakin ramai yang prihatin terhadap haiwan di sekeliling mereka. Semakin ramai juga yang datang ke klinik membawa kucing jalanan untuk dirawat,” katanya.

Namun menurutnya, mereka yang ingin mengambil kucing jalanan dan membelanya perlu tahu asas penjagaan haiwan itu dan bertanggungjawab dengan memberi kasih sayang dan perhatian dari segi kesihatan.

“Memang impian setiap pencinta haiwan ingin menyelamatkan semua kucing jalanan yang mereka jumpa kalau boleh.

“Tetapi apa yang penting, kita perlu ikut kemampuan dan kesenangan kita untuk membantu, bukan saja dari segi kos tapi juga komitmen untuk menjaga dan ruang untuk membela.

“Sebagai contoh, seseorang itu mungkin tidak mampu untuk mengambil semua haiwan malang di tepi jalan untuk dibawa pulang, tetapi mungkin mereka boleh letakkan gambar kucing itu di laman sosial atau hubungi persatuan, kelab atau rumah perlindungan haiwan.

“Buat yang termampu dan ikut kesesuaian keadaan supaya kita juga tidak tertekan kelak dan selebihnya doa untuk kesejahteraan makhluk ciptaan Allah itu,” katanya.

Zul Erwan juga menekankan betapa pentingnya mengawal populasi kucing jalanan dan kepentingan prosedur memandulkan haiwan itu untuk kepentingan haiwan itu sendiri.

“Saya menyarankan agar pemandulan kucing dibuat kerana dapat mengawal populasi kucing liar.

“Masih ramai yang tidak memandulkan kucing mereka dan dibiar bebas. Apa yang berlaku, kucing jantan mereka yang dibiar bebas akan membiak.

“Anak yang dilahirkan oleh kucing betina itu kelak akan menambah bilangan kucing liar dan ia berterusan.

“Risiko untuk kucing mereka mendapat penyakit Aids kucing akibat Feline Immunodeficiency Virus atau HIV (tidak berjangkit pada manusia) juga tinggi di samping penyakit lain.

“Tiap hari ada saja kes positif Aids yang datang ke klinik. Begitu juga kucing betina yang tidak dimandulkan dan dibiar terkurung terdedah kepada kanser rahim dan ketidakstabilan hormon yang tidak sihat untuk badan dan psikologi mereka.

“Mereka menjadi kurus dan bulu pula jadi ronyok dan jika dibiar beranak banyak kali juga tidak baik untuk mereka kerana mereka akan sentiasa miang setiap bulan sehingga tua dan ini tidak sihat untuk mereka,” katanya.

Pasti ramai anak muda yang mempunyai semangat kecintaan yang menebal terhadap haiwan ingin menjadi doktor veterinar dan Zul Erwan sudi berkongsi nasihat bersama mereka.

“Karaktor utama adalah sabar dan ada perasaan kasihan pada haiwan. Sifat sabar sangat dituntut kerana haiwan tidak boleh bersuara untuk memberitahu perasaan atau apa yang mereka alami.

“Bergantung kepada situasi, tidak semua kucing boleh dipegang untuk diperiksa, kadangkala ada yang liar dan marah bila dipegang.

“Kes yang memerlukan kerja seperti mengambil darah dan memasukkan air pada salur darah memerlukan kesabaran dan minda yang fokus dan tenang,” katanya.

Kini dunia veterinar sudah menjadi sebati dengan jiwa Zul Erwan dan dia ingin terus berkhidmat untuk ciptaan indah itu sebaik termampu.

“Impian saya ingin membuka klinik 24 jam agar pemilik haiwan lebih mudah membawa haiwan mereka yang memerlukan rawatan pada setiap masa dan di waktu kecemasan.

“Saya juga ingin membina rumah perlindungan untuk kucing yang boleh menempatkan kucing jalanan yang diselamatkan berserta klinik asas untuk mereka,” kata Zul Erwan mengakhiri bicara.

Sumber: HARIAN METRO

1