Sedapnya Durian Bakar

Sedapnya Durian Bakar

Sebagai rakyat Malaysia, sudah semestinya buah-buahan tempatan menjadi antara pilihan utama kita. Bercakap mengenai durian, pasti ramai yang suka bukan? Aromanya yang kuat dan isinya yang manis berlemak, sudah pun membuat kebanyakan daripada kita menginginkan!

Oleh kerana kita terlalu kreatif, maka banyak resipi-resipi masakan yang akan diolah menggunakan durian, seperti tempoyak, ‘crepe’ durian, bubur dan pulut durian serta banyak lagi. Namun, kali ini sedikit istimewa apabila durian juga turut dibakar menjadi durian bakar.

Menurut Malay Mail, durian bakar ini dibalut terlebih dahulu dengan kerajang aluminium sebelum dibakar di atas arang selama 45 minit.

Tetapi harus diingatkan bahawa ia tidak semestinya boleh dimakan pada ketika itu. sebaliknya, anda harus menunggunya sejuk dahulu. jika anda teringin merasai sendiri pengalaman menikmati durian bakar, apa kata anda pergi ke Pasar Malam Jalan Gaya, Kota Kinabalu di mana durian bakar tersebut dijual dengan harga RM60.

Idea durian bakar ini bertitik tolak daripada Dennis Chan, yang diinspirasikan setelah dia melihat gerai berdekatan menjual kelapa muda bakar.

Ideanya itu telah ‘disimpan’ selama empat tahun dan baru-baru ini sahaja dia telah memulakan penjualan durian bakarnya itu. Dilaporkan bahawa menu istimewa berkenaan mendapat sambutan hangat, sehinggakan pelancong asing juga sukakannya.

“Sejak saya mula berniaga di sini bulan lalu, durian bakar sangat popular dalam kalangan pelancong dari China, Korea Selatan dan penduduk tempatan yang sukakan durian”, jelas Dennis.

Gerainya beroperasi jam 6 petang hingga 2 pagi pada hari Jumaat dan Sabtu. Harus diingatkan juga bahawa pasar malam Jalan Gaya itu turut dikenali dengan nama Pasar Malam Api-Api. Selain menjual durian bakar, gerai Dennis itu juga turut menjual pelbagai lagi jenis makanan dan minuman untuk para pelanggan.

Sumber: ERA BARU

2