Seronok Dapat Beri Kucing Di Jalanan Di Pasar Makanan

Seronok Dapat Beri Kucing Di Jalanan Di Pasar Makanan

SEKUMPULAN individu sanggup berjaga malam untuk ke pasar basah di Kelantan semata-mata untuk memberi makan kepada kucing liar sejak awal bulan lalu.

Setiap Rabu, mereka akan ke pasar basah di sekitar negeri ini dengan membawa sehingga 50 kilogram makanan kucing untuk menjamu haiwan itu. Sehingga kini, kumpulan itu sudah memberi makan kepada ratusan kucing terbiar di sekitar negeri ini termasuk Pasar Siti Khadijah, Berek 12, Cabang Tiga, Pengkalan Chepa.

Peniaga, Mohamad Saifullah Omar, 29, berkata, aktiviti itu tercetus apabila isterinya, Siti Fatimah Mohd Khamel, 31, memuat naik usahanya memberi makan kepada kucing terbiar di Facebook.

“Sejak itu, ramai pihak menawarkan diri untuk menaja makanan malah ada yang sukarela mahu mengikut saya memberi kucing makan walaupun ada yang tinggal jauh. Apabila mula mendapat sambutan, kami menetapkan setiap Rabu malam, akan ke pasar untuk menjalankan aktiviti amal ini. Kebiasaannya kira-kira 30 orang akan menyertai program yang bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam.

“Biarpun sumbangan ini kecil, namun kami seronok dapat ‘belanja’ kucing terbiar ini makan,” katanya ketika ditemui selepas bersama 30 individu memberi makan kepada hampir 300 kucing di Pasar Melor, Ketereh dan Kok Lanas di Kota Bharu, malam tadi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Permotoran Negeri Kelantan (PPNK) Wan Azley Wan Mohamed berkata, selain memberi makan, pihaknya turut merawat kucing yang sakit.

“Aktiviti kebajikan memang sentiasa menjadi keutamaan PPNK. Sebelum ini kita sering terbabit dengan aktiviti bantu orang susah dan kali ini kita membuat kelainan dengan memberi makan dan merawat kucing terbiar, ” katanya. Seorang daripada peserta program, Siti Mas Ayu Abdul Latif, 36, berkata, dia terpanggil menyertai aktiviti itu memandangkan dia sangat sukakan kucing.

“Menerusi aktiviti amal ini, saya dapat membantu kucing terbiar. Malah di rumah saya turut memelihara 45 kucing terbiar yang mengalami kecacatan seperti buta mata, berkurap dan tempang,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO

 

1