Siapa Kata Kucing Dan Anjing Tak Boleh Jadi Kawan Akrab?

Siapa Kata Kucing Dan Anjing Tak Boleh Jadi Kawan Akrab?

Bolehkah seekor anjing menjadi rakan baik kepada seekor harimau belang? Kisah keakraban dua ekor haiwan berlainan spesies yang luar biasa dari Rusia ini akan membuat anda untuk mempercayainya.

Semuanya bermula apabila seorang lelaki dari Rusia mewujudkan sebuah pusat perlindungan haiwan berdekatan Moscow yang menempatkan haiwan peliharaan terbiar dan spesies harimau serta kucing liar yang telah diselamatkan dari beberapa tempat.

Mikhail Zaretsky mengendalikan satu rumah yang menjadi pusat perlindungan untuk kucing liar terbiar dan spesies harimau yang diselamatkan dikenali sebagai ‘House of Tigers’.

Menerusi akaun Instagram, Mikhail menunjukkan bagaimana beliau mengendalikan haiwan-haiwan liar dengan baik sehingga kesemuanya boleh menjadi jinak, dengan cara interaksinya bersama haiwan-haiwan ini di luar serta di dalam rumah tanpa menempatkan mereka di dalam kandang seperti mana pusat perlindungan haiwan lain.

Harimau belang ini juga turut menjadi rakan karib kepada anjing-anjing peliharaan Mikhail dan mereka bermain seperti adik-beradik ketika berada di luar rumah. Mikhail Zaretsky telah merakamkan keakraban harimau spesies ini dan anjingnya ketika mereka sedang bermain salji. Pada ketika itu mereka masih kecil dan amat comel.

Dan siapa yang berani untuk mengatakan yang anjing dan kucing besar tidak boleh bersama sehingga menjadi rakan baik yang akrab?

Mikhail Zaretsky telah bekerja selama 17 tahun dalam usahanya untuk memberi pendidikan dan kesedaran tentang betapa pentingnya penjagaan spesies harimau daripada dilanda kepupusan. Mikhail begitu komited dalam kerja menyelamatkan serta merawat spesies harimau dan kucing terbiar yang sama ada telah dianiayai oleh manusia atau yang dijumpai telah tercedera.

Sebelum ini Mikhail pernah menjadi pelatih kepada haiwan liar dalam persembahan sarkas di Rusia. Maka tidak hairan mengapa kesemua haiwan liar dan haiwan peliharaan boleh menjadi jinak di bawah latihannya.

Tidak diketahui sama ada rumah perlindungan haiwan liar ini mendapat sokongan jabatan perlindungan dan kebajikan haiwan di Rusia, tetapi jelas Mikhail amat menyukai untuk memelihara kesemua haiwan ini sebagai sebahagian daripada tujuan hiburan buat dirinya dan ahli keluarga.

Apa yang penting, Mikhail telah berjaya menjinakkan kesemua haiwan ini dengan baik sehingga mampu menjadikan seekor anjing dan harimau belang menjadi rakan sepermainan yang akrab.

Sumber: ERA BARU

6