Taman Kucing Pertama Di Sabah Dibuka Oleh Seorang Wanita

Taman Kucing Pertama Di Sabah Dibuka Oleh Seorang Wanita

SIAPA sangka hanya bermula dengan hobi memelihara kucing terbiar yang diselamatkan di tepi jalan, tiga beradik kelahiran Kiulu, Tuaran kini mengusahakan sebuah taman kucing dikenali Cat Village di Kampung Mesilau, Kundasang, Sabah.

Terletak kira-kira tiga kilometer dari Pekan Kundasang, Cat Village dibuka sejak Februari lalu kepada orang ramai terutama pencinta kucing untuk bermain bersama si ‘bulus’ di taman ini.

Menurut seorang pemiliknya, Alice Joutin, 35, idea mengusahakan Cat Village bermula apabila kucing jalanan yang dikutip mereka dari beberapa daerah semakin banyak.

Katanya, semua kucing berkenaan kemudian dibersihkan, dirawat dan diberikan vaksin dan seterusnya dikembiri bagi mengelak daripada membiak sehingga menyebabkan ia terbiar.

Alice berkata, beliau dan dua lagi adiknya menjadikan hobi memelihara kucing jalanan kerana kasihan melihat haiwan comel itu terbiar dan kini memiliki lebih 100 kucing termasuk 20 milik sendiri dari baka kucing kampung, parsi dan siam.

“Jadi, kami terfikir untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri kucing yang kami pelihara dan seterusnya menjadi tarikan baru kepada pengunjung di Kundasang,” katanya.

Alice berkata, walaupun kos penyelanggaraan, menjaga dan merawat kucing jalanan itu tinggi, namun ia bukan penghalang untuk mereka terus menjaga semua haiwan terbabit.

“Setiap hari kucing ini perlu diberi makan, dibersihkan dan diberi perhatian bagi memastikan semua haiwan itu sihat. Jika ada antara kucing ini tidak sihat, ia akan dikuarantin sehingga sihat semula.

“Kos untuk menyelenggara termasuk rawatan juga tinggi tetapi dengan adanya usaha mengumpul dana menerusi penjualan tiket masuk ke taman ini, kami dapat menggunakannya untuk menampung kos terbabit,” katanya.

Alice berkata, buat masa ini, mereka tidak menerima kucing jalanan atau dipelihara untuk dimasukkan ke taman kucing itu kerana haiwan sedia sedia ada sudah terlalu banyak.

“Kami juga mahu mengelak berlaku jangkitan daripada kucing yang baru masuk kerana belum diberi vaksin dan dikembiri, selain memberi peluang sepenuhnya kepada kucing jalanan sahaja untuk berada di sini,” katanya.

Kakaknya, Jonaida, 43, ada banyak cabaran untuk menjaga semua kucing itu termasuk faktor kesihatan kucing yang mudah dijangkiti selsema berikutan cuaca di Kundasang yang sejuk, selain gegaran akibat gempa bumi menjadikan haiwan berkenaan sensitif dan seterusnya boleh mencederakan diri sendiri kerana terkejut.

“Selain itu, masalah kekurangan vaksin di Jabatan Haiwan dan ini menyukarkan kucing mendapat vaksin.

“Kami juga terima rungutan pengunjung bahawa jalan masuk ke kawasan Cat Village berbatu dan tidak berturap menyebabkan kenderaan sukar ke kawasan ini sehingga ada yang tidak sanggup meneruskan perjalanan,” katanya.

Sehubungan itu, Jonaida berharap ada pihak yang prihatin dapat membantu menyelesaikan masalah membabitkan jalan masuk ke Cat Village sejauh 500 meter dari simpang Kampung Mesilau iaitu dengan menurap jalan.

Cat Village dibuka kepada orang ramai setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang dengan bayaran RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun serta tiada bayaran bagi kanak-kanak bawah tiga tahun.

Cat Village

* Terletak di Kampung Mesilau, Kundasang.

* Dimiliki tiga beradik

* Mengumpul pelbagai jenis kucing jalanan

* Waktu melawat – jam 8.30 pagi 5 petang

* Bayaran RM5 (dewasa) dan RM3 (kanak-kanak bawah 12 tahun dan percuma bawah 3 tahun

Author: Norasikin Daineh

1